fb fb fb fb fb

Angka kematian di Gaza cecah 57,268 orang, serangan Israel terus berlanjutan

Foto Reuters

GAZA, 5 Julai - Jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza terus meningkat kepada 57,268 orang, manakala seramai 135,625 lagi cedera sejak konflik bersenjata antara Hamas dan Israel meletus pada 7 Oktober 2023, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Dalam tempoh bermula 18 Mac 2024 sahaja, angka korban mencecah 6,710 orang, manakala 23,584 orang lagi mengalami kecederaan akibat serangan berterusan.

Menurut laporan, 138 nyawa terkorban dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk 62 mangsa yang maut ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza turut mengesahkan sekurang-kurangnya 41 rakyat Palestin terbunuh dalam siri serangan terbaharu tentera Israel sejak awal pagi Jumaat.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan agensi keselamatan dalaman Israel, Shin Bet, dalam satu kenyataan bersama, memaklumkan bahawa lebih 65 peratus wilayah Gaza kini berada di bawah kawalan operasi IDF.

Mereka turut mendakwa bahawa lebih 100 anggota bersenjata telah terbunuh dalam tempoh seminggu lalu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN