RIO DE JANEIRO, 5 Julai - Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva memberi isyarat bahawa beliau mungkin akan menawarkan diri untuk bertanding semula dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2026, namun masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi.
“Bersedialah. Jika semuanya berjalan seperti yang saya fikirkan, negara ini buat pertama kalinya akan mempunyai seorang presiden yang dipilih sebanyak empat kali oleh rakyat Brazil,” kata Lula ketika berucap dalam satu acara di Rio de Janeiro, pada Jumaat.
Lula, 79, merupakan pemimpin berhaluan kiri yang memenangi semula jawatan presiden pada 2022 untuk penggal ketiga secara tidak berturut-turut.
Beliau sebelum ini pernah memimpin negara itu selama dua penggal berturut-turut dari tahun 2003 hingga 2010.
Kenyataan tersebut dibuat menjelang pilihan raya umum Brazil yang dijadual berlangsung pada Oktober 2026, di mana rakyat akan memilih Presiden, Naib Presiden, ahli Kongres Kebangsaan, Gabenor serta pegawai kerajaan lain.
Sekiranya Lula mengesahkan pencalonan dan menang, beliau akan mencipta sejarah sebagai satu-satunya individu yang memenangi jawatan presiden Brazil sebanyak empat kali.-REUTERS