KIEV, 5 Julai - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan perbualan telefon pada Jumaat, membincangkan keperluan mendesak untuk meningkatkan pertahanan udara Ukraine susulan serangan udara Rusia yang semakin hebat.
Zelenskiy berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengatur pertemuan antara pasukan masing-masing bagi memperkukuh sistem pertahanan, termasuk kerjasama dalam pengeluaran senjata.
Perbincangan itu dibuat selepas Kiev mendesak Washington menyambung semula penghantaran sistem peluru berpandu Patriot, yang dianggap penting dalam mempertahankan bandar-bandar daripada serangan dron dan peluru berpandu Rusia.
Sumber yang dimaklumkan mengenai panggilan itu menyatakan perbualan antara kedua-dua pemimpin adalah “sangat baik”, dan dilihat memberi harapan kepada penyambungan semula bantuan ketenteraan.
Menurut laporan Axios, perbualan berlangsung kira-kira 40 minit, dan Trump dilaporkan akan menyemak status penghantaran senjata AS yang kini tergantung.
Perbualan itu berlaku sehari selepas Trump melaporkan panggilan yang “mengecewakan” bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Beberapa jam kemudian, Rusia melancarkan serangan dron terbesar ke atas Kiev sejak perang bermula, yang disifatkan Zelenskiy sebagai “sengaja dan sinis.”
Terdahulu, Kiev menerima sistem Patriot semasa pentadbiran Presiden Joe Biden, namun Trump kini menilai semula pendekatan hubungan AS-Ukraine sejak memegang jawatan.-REUTERS