IZMIR, 5 Julai - Satu kebakaran hutan besar yang melanda wilayah Izmir, Turkiye, telah merebak ke kawasan penempatan mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa serta menyebabkan ratusan penduduk hilang tempat tinggal.
Datuk Bandar Perbandaran Odemis, Cemil Tugay memaklumkan kemusnahan akibat kebakaran amat besar, melibatkan kerosakan teruk di hampir sepuluh buah kampung.
“Jutaan pokok hangus terbakar di sini, dan terdapat kerosakan yang sangat teruk di kawasan pedalaman. Ratusan penduduk kini kehilangan tempat tinggal,” katanya kepada pemberita.
Pasukan bomba masih giat menjalankan usaha memadam kebakaran, dengan bantuan helikopter dan pesawat yang menggugurkan air ke kawasan berbukit di sekitar Izmir.
Beberapa laluan ke bandar peranginan terkenal Aegean, Cesme, turut ditutup oleh pihak berkuasa bagi memudahkan operasi, menurut agensi berita Anadolu.
Kebakaran tersebut dilaporkan semakin marak akibat cuaca panas melampau, kelembapan rendah dan tiupan angin kencang.
Sehingga kini, kira-kira 50,000 penduduk telah dipindahkan secara sementara sepanjang minggu ini bagi tujuan keselamatan dan beberapa kawasan kebakaran telah berjaya dikawal.
Dalam perkembangan berkaitan, kebakaran lain turut dilaporkan berlaku di wilayah peranginan selatan Antalya serta di kawasan pinggir bandar Istanbul, bandar terbesar di Turkiye.
Pihak berkuasa kini meningkatkan amaran risiko kebakaran hutan di seluruh negara, dan menasihatkan penduduk agar berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh cuaca kering dan panas berpanjangan.-REUTERS