TEXAS, 5 Julai - Beberapa kawasan di Kerr County, Texas, dilanda banjir teruk berikutan hujan lebat yang berpanjangan pada Jumaat, menyebabkan pemindahan penduduk serta laporan kematian yang belum dipastikan bilangannya.
Paras air Sungai Guadalupe dilaporkan meningkat mendadak dan mengalir deras, menyebabkan kerosakan kepada kediaman, jalan raya terhalang dengan serpihan dan runtuhan, serta beberapa kawasan dinaiki air sepenuhnya.
Datuk Bandar Kerrville, Joe Herring Jr., telah mengisytiharkan perintah bencana bagi membolehkan tindak balas segera dijalankan, manakala pihak berkuasa daerah mengesahkan berlakunya kematian akibat banjir yang disifatkan sebagai ‘malapetaka’, khususnya di kawasan berhampiran sungai berkenaan.
Pihak berkuasa tempatan turut menggesa semua penduduk yang tinggal dalam jarak 100 ela dari Sungai Guadalupe supaya segera berpindah ke kawasan selamat, berikutan risiko banjir yang semakin memburuk.
Sementara itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS) mengisytiharkan keadaan banjir itu sebagai “amat berbahaya dan mengancam nyawa,” serta menasihatkan penduduk supaya berpindah ke kawasan yang lebih tinggi secepat mungkin.
Operasi kecemasan masih diteruskan dengan tumpuan kepada usaha menyelamat, pengesanan mangsa yang terperangkap, dan penyediaan perlindungan sementara kepada penduduk yang terjejas.
Keadaan cuaca dijangka terus dipantau dari semasa ke semasa.-REUTERS