fb fb fb fb fb

Bangunan kediaman runtuh di Karachi, korban meningkat kepada 12 orang

Foto Reuters

KARACHI, 5 Julai- Sekurang-kurangnya 12 terkorban dalam insiden runtuhan bangunan kediaman bertingkat di kawasan Lyari, Karachi, Pakistan.

Menurut pegawai perkhidmatan kecemasan, operasi mencari dan menyelamat giat diteruskan.

Pasukan penyelamat bekerja sehingga lewat malam menggunakan jentolak dan peralatan berat untuk mengalihkan serpihan dan runtuhan dari tapak kejadian.

Pegawai kecemasan, Saadullah Bhutto memaklumkan bahawa lima hingga enam orang turut cedera dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut Saad Edhi dari Yayasan Edhi, bangunan tersebut sebelum ini telah diisytiharkan tidak selamat untuk didiami oleh pihak berkuasa dan notis pemindahan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan Sindh (SBCA).

Bagaimanapun, beberapa keluarga dilaporkan masih menetap di premis itu walaupun amaran telah dikeluarkan.

Bangunan tersebut kini telah runtuh sepenuhnya.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM