LONDON, 28 November- Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis menuduh rakan sejawatannya dari Britain, Rishi Sunak kerana membatalkan mesyuarat yang dijadualkan di London pada Selasa berhubung status Arca Parthenon.
Athens berulang kali meminta Muzium British untuk memulangkan secara kekal arca berusia 2,500 tahun yang dikeluarkan oleh diplomat British Lord Elgin dari kuil Parthenon pada awal abad ke-19 ketika beliau menjadi duta ke Empayar Uthmaniyyah.
"Saya meluahkan kegusaran saya kerana Perdana Menteri Britain membatalkan pertemuan kami yang dirancang hanya beberapa jam sebelum ia berlangsung," kata Mitsotakis dalam satu kenyataan.
"Pendirian Greece dalam isu Arca Parthenon sudah diketahui umum. Saya berharap dapat membincangkannya perkara itu dengan rakan sejawatan saya dari Britain. Sesiapa yang percaya dengan kebenaran dan keadilan pendiriannya tidak pernah takut untuk berdepan dengan hujah," katanya.
Perbincangan mengenai kemungkinan kembalinya Arca Parthenon tidak berlaku dengan baik, kata Mitsotakis kepada BBC pada Ahad.
Muzium British menolak untuk memulangkan bahagian dalam koleksinya, yang termasuk kira-kira separuh daripada hiasan dinding 160 meter yang menghiasi Parthenon.
Jurucakap Sunak pada Isnin menolak hujahan itu dan berkata tidak ada rancangan untuk mengembalikan arca tersebut.
Bagaimanapun pejabat Sunak enggan mengulas mengapa mesyuarat itu dibatalkan.- REUTERS