NEW YORK, 27 Februari- Tanpa bantuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) baharu, Ukraine tidak akan dapat mempertahankan koridor perkapalan Laut Hitam yang membolehkan Kiev mengeksport berjuta-juta tan bijirin ke pasaran global kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy.
Ukraine melancarkan koridor perkapalan Laut Hitam berhampiran Romania dan Bulgaria pada Ogos, sebulan selepas Rusia menghentikan perjanjian penting selama setahun yang diuruskan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Turki. Laluan itu digunakan untuk eksport hampir 33 juta tan metrik bijirin Ukraine.
Ukraine masih berusaha untuk mengeksport semua bijirin penuaian 2023 walaupun serangan Rusia ke atas pelabuhan dan infrastruktur Ukraine masih diteruskan, kata pejabat luar Britain.
"Kami ... mencipta laluan baharu di Laut Hitam," kata Zelenskiy kepada CNN dalam satu temu bual, menyifatkan koridor perkapalan itu sebagai "kejayaan besar" kerana setakat ini membenarkan eksport kira-kira 30 juta tan bijirin dan produk pertanian lain.
Namun Zelenskiy berkata, sekiranya Amerika Syarikat tidak meluluskan $60 bilion bantuan keselamatan baharu, ia mungkin akan mengganu urusan Ukraine di Laut Hitam.
PBB menyalahkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dua tahun lalu kerana ia menambahkan lagi krisis makanan global kerana kedua-dua negara adalah pengeksport bijirin utama.
"Saya fikir laluan itu akan ditutup... kerana untuk mempertahankannya, ia memerlukan bantuan dan beberapa sistem lain," kata Zelenskiy.
PBB mengatakan terdapat berpuluh-puluh serangan ke atas pengeluaran bijirin dan kemudahan eksport Ukraine.
Tetapi menurut Rusia, ia menyasarkan infrastruktur ketenteraan, bukan infrastruktur awam.
Ukraine menuai kira-kira 80 juta tan bijirin dan minyak pada 2023, ia termasuk lebihan yang boleh dieksport kira-kira 50 juta tan pada musim 2023/24 iaitu Julai-Jun, kata kerajaan negara itu.- REUTERS