fb fb fb fb fb

Bencana banjir: 111 maut di Indonesia, dua di Malaysia, bilik mayat Songkhla penuh

Foto udara pada 26 November 2025 menunjukkan kawasan kediaman di Hat Yai ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan/Foto AFP

MEDAN/BANGKOK, 28 November – Angka korban banjir dan tanah runtuh di Asia Tenggara terus meningkat hari ini, apabila 111 orang terkorban di pulau Sumatera.

Manakala bilik mayat di sebuah hospital di selatan Thailand dilaporkan penuh susulan banjir besar di Hat Yai.

Hujan lebat berterusan melanda Indonesia, Malaysia dan selatan Thailand sejak beberapa hari lalu, mengakibatkan kawasan bandar ditenggelami air.

Bencana itu menyebabkan laluan terputus serta ribuan penduduk terperangkap di rumah tanpa komunikasi dan elektrik.

Jurucakap Polis Sumatera Utara, Ferry Walintukan, berkata pasukan penyelamat masih menumpukan operasi pemindahan dan bantuan, dengan hampir 100 mangsa masih hilang di beberapa kawasan yang terputus hubungan.

“Kami berharap cuaca mengizinkan penghantaran helikopter ke lokasi paling terjejas,” katanya kepada AFP.

Di Sumatera Barat, seorang penduduk, Misniati, 53, berkata paras air naik mendadak sehingga mencecah dada ketika cuba pulang ke rumah.

“Kami tidak tidur semalaman, hanya memantau paras air,” katanya.

Pakar pemuliharaan dari WALHI, Uli Arta Siagian, berkata aktiviti pembalakan, perlombongan dan perluasan ladang sawit menyebabkan kawasan semakin terdedah kepada banjir dan tanah runtuh kerana kehilangan litupan hutan.

Sementara itu, di Thailand, 55 mangsa terkorban di wilayah Songkhla, dengan penduduk Hat Yai terpaksa berlindung di atas bumbung sebelum diselamatkan bot.

Hospital Songkhla mengesahkan bilik mayatnya penuh dan kini menggunakan lori sejuk beku untuk menempatkan mayat tambahan.

Kerajaan Thailand turut menggantung tugas Ketua Daerah Hat Yai atas dakwaan kegagalan bertindak balas terhadap bencana.

Di Malaysia, dua kematian direkodkan di Perlis akibat banjir susulan hujan lebat di kawasan utara Semenanjung. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN