fb fb fb fb fb

Suhu UK cecah 40 darjah Celsius buat pertama kali

LONDON, 20 Julai- Suhu di United Kingdom, UK buat julung kalinya melepasi 40 darjah Celcius pada Selasa.

Ketua Meterologi Britain menyifatkan ia cuaca panas paling dahsyat dalam tempoh 30 tahun.

Gelombang haba di rantau itu turut mencatatkan paras rekod tinggi.

Selepas suhu sebelah malam mencatatkan paras paling tinggi di UK, Pejabat Kaji Cuaca menyatakan paras tertinggi baharu iaitu 40.3 darjah Celsius telah direkodkan di Coningsby, bahagian timur England.

Sekurang-kurangnya 34 kawasan di Britain mencatatkan suhu menjangkaui 38.7 darjah Celsius yang pernah dicatatkan di timur England, Cambridge pada 2019.

Beberapa pakar berpandangan peningkatan suhu itu berpunca daripada perubahan iklim, dan memberi amaran bahawa situasi lebih buruk akan berlaku.

Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Petteri Taalas, berkata gelombang haba kini semakin kerap dan pola itu diramal berterusan sehingga 2060-an, bergantung pada kejayaan usaha menangani isu iklim itu.

"Pada masa depan, gelombang haba seperti ini akan menjadi suatu kebiasaan, dengan suhu ekstrim yang lebih tinggi," katanya.


(Foto fail AFP)

Suhu tinggi itu mencetuskan beberapa amaran yang julung kali berlaku di England, dengan beberapa laluan kereta api ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, manakala sekolah ditutup di beberapa kawasan.

Selain itu, operasi semua kereta api dari stesen King Cross di London dihentikan, menyebabkan ramai pengguna terkandas.

Dengan permukaan jalan raya dan laluan kereta api mencair dan kebimbangan kereta api tergelincir, Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps mengakui kebanyakan infrastruktur Britain tidak dibina untuk bertahan dengan suhu seumpamanya.

Di Perancis, 64 kawasan berbeza merekodkan suhu tertinggi Isnin lalu, dengan kebanyakannya terletak di sepanjang pantai barat Atlantik, dengan suhu mencecah melebihi 40 darjah Celsius.

Gelombang haba itu turut menyebabkan kebakaran hutan di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol. - AFP

Media Baharu