(Anggota bomba sedang memadam kebakaran di sebuah kediaman di bandar
Bakhmut selepas serangan udara Rusia pada 19 Julai 2022/AFP)
KRAMATORSK, 20 Julai- Rusia melancarkan serangan di bahagian timur dan selatan Ukraine selepas Presiden Vladimir Putin berkata Moscow hanya akan memudahkan laluan di Laut Hitam untuk eksport bijirin dari Ukraine jika Barat menarik balik sekatan ke atas penghantaran barangan Rusia.
Menurut pihak berkuasa, serangan Moscow di timur bandar Kramatorsk pada Selasa menyebabkan seorang terbunuh.
Wartawan AFP melaporkan, bangunan kediaman empat tingkat di bandar wilayah Donbas turut terkena serangan. Seorang lelaki dilihat terbaring kerana cedera di kepala. Lelaki itu kemudian dibawa keluar oleh petugas keselamatan.
“Dia (lelaki yang cedera) terkena serangan ketika melalui kawasan ini,” kata seorang wanita yang dilihat bergetar (ketakutan) sejurus serangan.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sejak Februari menyebabkan ribuan penduduk terbunuh dan jutaan lagi hilang tempat tinggal. Operasi itu turut menjejaskan urusan penghantaran barangan dari salah sebuah negara pengeksport gandum dan bijirin terbesar dunia, sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang kekurangan makanan global.
Putin yang berada di Tehran untuk bertemu rakan sejawatannya dari Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Selasa berkata ada “kemajuan” dicapai ketika perbincangan mengenai eksport bijirin dari Ukraine.
(Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan (kanan) Presiden Rusia Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Iran
Ebrahim Raisi (tengah) dalam sidang media pada akhir Sidang Kemuncak Trilateral Astana
di Dewan Persidangan Antarabangsa Tehran pada 19 Julai 2022/AFP)
Selepas perbincangan dengan Erdogan dan Presiden Iran, Putin memberitahu wartawan bahawa sebarang perjanjian kini bergantung kepada kesediaan Barat menerimanya.
“Kami akan mempermudahkan eksport bijirin Ukraine, tetapi kami kekal dengan fakta bahawa semua sekatan penghantaran udara untuk urusan eksport bijirin dari Rusia perlu ditarik balik, katanya.
Anggota NATO, Turkiye menggunakan hubungan baik antara kedua-dua pihak Kremlin dan Kiev untuk menjadi perantara rundingan mengenai cara penghantaran bijirin dengan selamat.
Pada Rabu, beberapa delegasi Rusia dan Ukraine dijadual bertemu di Istanbul bersama-sama Turkiye dan wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dengan harapan besar kepada perjanjian yang bakal diumumkan.
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell pula memberi amaran pada minggu ini bahawa kebuntuan dalam isu penghantaran bijirin adalah "isu hidup dan mati bagi banyak manusia”.
Satu dokumen yang dirujuk oleh AFP menunjukkan bahawa Suruhanjaya Eropah bercadang untuk menarik balik sekatan aset bank Rusia yang dikaitkan dengan perdagangan makanan dan baja. -AFP