(Penyokong Ranil Wikeramasinghe meraikan kemenangannya di Colombo/AFP)
COLOMBO, 20 Julai- Ranil Wickremesinghe dipilih sebagai presiden baharu Sri Lanka, menggantikan Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri dari negara yang mengalami krisis ekonomi serta pergolakan politik dan telah meletak jawatan minggu lalu.
Keputusan rasmi menyaksikan Wickremesinghe memperoleh 134 undi dalam undian Parlimen tiga penjuru.
Pencabar utamanya, Dullas Alahapperuma memperoleh 82 undi, manakala Anura Dissanayake hanya memperoleh tiga undi.
(Presiden baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe/AFP)
"Perpecahan kita kini sudah berakhir," kata Wickremesinghe dalam ucapan ringkas di Parlimen. "Saya menjemput Alahapperuma untuk menyertai saya dan bekerjasama bagi membawa negara keluar daripada krisis yang kita hadapi", katanya.
Beliau berharap untuk mengangkat sumpah pada lewat hari ini dalam majlis ringkas di bangunan Parlimen yang dikawal ketat.
Speaker Mahinda Abeywardana berkata perhatian dunia tertumpu kepada badan perundangan Sri Lanka kerana ia memilih pemimpin untuk memenuhi tempoh penggal Rajapaksa yang berakhir November 2024.
"Ini adalah detik bersejarah, bukan sahaja untuk Parlimen tetapi seluruh negara. Mata dunia tertumpu kepada kami hari ini, ketika kami memilih presiden baharu", kata Abeywardana.-AFP