SYDNEY, 20 Julai- Kerajaan Australia menyarankan rakyat negara itu agar bekerja di rumah, pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup dan mengambil suntikan dos penggalak segera.
Ia susulan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital di Australia menghampiri rekod tertinggi hari ini.
Ketua Pegawai Perubatan Australia, Paul Kelly berkata negara itu perlu bertindak secara berbeza sekurang-kurangnya buat sementara waktu dan menjangkakan jumlah kemasukan ke hospital akan melepasi rekod tertinggi tidak lama lagi.
"Bekerja dari rumah adalah antara tindakan jangka pendek bagi menghentikan penularan tersebut," kata Paul kepada AFP.
Australia kini berdepan gelombang ketiga Omicron yang dicetuskan subvarian BA.4 dan BA.5 yang amat mudah berjangkit, dengan lebih 300,000 kes direkodkan dalam tempoh tujuh hari lalu, yang mana 50,000 kes dicatat semalam, tertinggi dalam tempoh dua bulan.
Kira-kira 5,300 warga Australia kini dirawat di hospital akibat COVID-19, menghampiri rekod tertinggi 5,390 kes Januari lalu ketika penularan BA.1, dengan jumlah pesakit di Queensland, Tasmania dan Australia Barat kini di tahap tertinggi sejak pandemik bermula.
Minggu lalu, Australia melaksanakan semula pembayaran sokongan kepada pekerja kontrak yang dikuarantin akibat COVID-19, selepas jumlah pekerja yang dijangkiti meningkat.
Beberapa petugas kesihatan turut dijangkiti atau perlu dikuarantin, sekali gus menambah tekanan kepada sistem kesihatan negara itu.-AFP
(Ketua Pegawai Perubatan Australia, Paul Kelly/REUTERS)