fb fb fb fb fb

Sekatan jalan jejas keberkesanan gencatan senjata di Yaman

(Lalu lintas di jalan sempit yang rosak teruk yang berfungsi sebagai talian hayat antara bandar Taez di Yaman, yang dikepung oleh pemberontak Huthi, dan pelabuhan selatan Aden/AFP)

DUBAI, 20 Julai- Keadaan di Yaman secara keseluruhan bertambah baik sejak gencatan senjata tajaan Pertubuhan Bangsa Bersatu dikuatkuasakan pada awal April lepas.

Timbalan Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Yaman, Diego Zorrilla berkata selepas tujuh tahun perang yang dahsyat jumlah kematian telah berkurangan, bekalan bahan bakar kini lebih kerap dan perkhidmatan penerbangan telah disambung semula.

Bagaimanapun sekatan jalan raya kekal sebagai kebimbangan kemanusiaan utama.

"Jalan raya masih terhalang, jadi penambahbaikan tidak mengikut jangkaan orang ramai," katanya kepada AFP, merujuk kepada salah satu bahagian utama gencatan senjata yang belum dilaksanakan.

"Keadaan ini amat serius di Taez, sebuah bandar yang dikelilingi pergunungan yang menempatkan antara 1.5 juta hingga dua juta penduduk," kata Zorrilla.

(FOTO AFP)

Bandar itu yang pernah menjadi pusat kebudayaan, akademik dan sejarah yang penting, dipisahkan oleh garis hadapan sepanjang 16 kilometer.

Kira-kira 80% penduduk tinggal di bahagian Taez yang dikuasai kerajaan, tetapi pemberontak Huthi mengawal kawasan yang lebih tinggi yang menempatkan telaga air di bandar itu.

Pembahagian itu menyebabkan 16,000 pekerja tidak dapat berjumpa keluarga mereka, dan kebanyakan orang terpaksa membeli air dalam tangki mahal.

Akses ke hospital juga telah terhalang di Taez, yang terputus dari seluruh negara.

"Daripada melakukan perjalanan selama 20 minit untuk dialisis, pesakit kadang-kadang terpaksa pergi ke Aden", katanya merujuk kepada bandar pelabuhan selatan yang mengambil masa sehingga sembilan jam untuk sampai di jalan gunung berbahaya. -AFP

Media Baharu