(Operasi menyelamat dijalankan sehari selepas kejadian tanah runtuh di Jardim Monte Verde,
negeri Pernambuco pada 29 Mei 2022/AFP)
BRAZIL, 30 Mei- Hujan lebat di timur laut Brazil yang turut mencetuskan kejadian tanah runtuh telah menyebabkan sekurang-kurangnya 79 orang mati dan puluhan lagi hilang.
Menurut pegawai pertahanan awam, operasi mencari dan menyelamat diteruskan ketika hujan dilaporkan semakin reda.
"Setakat 6.00 petang hari ini (Ahad), jumlah mangsa yang terbunuh disebabkan hujan lebat telah mencecah 79 orang," kata serang pegawai pertahanan awam negeri Pernambuco, kawasan paling terjejas yang didiami komuniti Recife dan Olinda, menurut kenyataan pihak berkuasa itu.
Bencana tersebut adalah kejadian terbaharu sejak beberapa malapetaka yang menyebabkan banyak kehilangan nyawa termasuk kejadian tanah runtuh dan banjir besar akibat cuaca buruk di Brazil.
Jumlah kematian pula dilaporkan meningkat secara berterusan pada hujung minggu, termasuk berpuluh-puluh kematian direkodkan dalam kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat yang menyebabkan sungai melimpah dan mewujudkan aliran lumpur.
Banyak harta penduduk dihanyutkan akibat kejadian tersebut.
(Lagi gambar kesan hujan lebat dan tanah runtuh di Jardim Monte Verde/AFP)
Bagaimanapun kenyataan terbaru pihak berkuasa pertahanan awam itu tidak menyatakan jumlah terbaru penduduk yang hilang, meskipun dalam kenyataan awal melaporkan sebanyak 56 orang masih belum ditemui dan hampir 4,000 penduduk tiada tempat tinggal.
"Kami belum mendapat jumlah sebenar penduduk terjejas, namun masih menerima laporan penduduk hilang yang masih belum ditemukan," kata Gabenor Pernambuco, Paulo Camara dalam sidang media berkaitan.
"Operasi mencari akan diteruskan sehingga kami berjaya mengenal pasti ke semua mangsa yang hilang," katanya.
Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran hujan akan berterusan sehingga Isnin waktu tempatan.
Sementara hujan dan ribut semakin reda, kira-kira 1,200 kakitangan -- sebahagiannya menaiki bot atau helikopter -- telah meneruskan operasi mencari dan menyelamat, kata seorang pegawai negeri. -AFP
Berita berkaitan
Hujan lebat di Brazil ragut 37 nyawa