GAZA CITY, 6 November - Lebih 75,000 penduduk Gaza kini bersesak di lebih seratus pusat perlindungan kecemasan kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), ketika serangan berterusan rejim Zionis terus memusnahkan kawasan penempatan penduduk awam.
Dalam keadaan serba kekurangan, ribuan keluarga terpaksa berlindung di sekolah-sekolah UNRWA yang dijadikan tempat perlindungan sementara, dengan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan semakin berkurangan.
Penduduk Palestin,Umm Muhammad Abu Awda, yang dipindahkan dari Beit Lahia, menggambarkan keadaan kehidupan bersesak dalam khemah.
“Tiga hingga empat keluarga tinggal dalam satu khemah. Tiada apa-apa yang melindungi kami. Tiada khemah yang betul-betul mampu menampung kami dan anak-anak.
"Musim sejuk semakin hampir, jadi kami merayu kepada pihak UNRWA supaya membantu kami dan anak-anak kami. Kami juga tidak mampu menyediakan pakaian atau keperluan asas untuk mereka," katanya.
UNRWA dalam kenyataannya berkata, jumlah pelarian yang semakin meningkat itu menandakan krisis kemanusiaan di Gaza berada pada tahap paling kritikal, dengan infrastruktur asas musnah dan ribuan penduduk terus kehilangan tempat tinggal. - AFP