fb fb fb fb fb

Subsidi kesihatan AS hampir tamat selepas RUU Republikan diluluskan

Suasana tegang di Dewan Perwakilan apabila Jim McGovern (tengah) memprotes keputusan undian / REUTERS

WASHINGTON, 18 Disember -Subsidi insurans kesihatan Amerika Syarikat (AS) yang diperluas sejak pandemik COVID-19 dijangka tamat hujung tahun ini.

Ia susulan kelulusan rang undang-undang (RUU) kesihatan oleh Dewan Perwakilan yang diterajui Parti Republikan, tanpa menyambung bantuan tersebut.

RUU itu diluluskan dengan keputusan tipis, 216 undi menyokong dan 211 menentang.

Undian berkenaan dijangka menjadi undian terakhir Kongres berkaitan dasar kesihatan bagi tahun ini.

Subsidi tersebut membantu rakyat Amerika mengurangkan kos insurans di bawah Akta Penjagaan Mampu Milik (ACA), juga dikenali sebagai Obamacare.

Sebelum itu, usaha Parti Demokrat untuk melanjutkan subsidi berkenaan selama tiga tahun gagal selepas undian prosedur di Dewan Perwakilan menyebelahi Republikan.

Keputusan itu mencetuskan bantahan daripada Demokrat yang mendakwa pengundian dihentikan lebih awal ketika beberapa ahli masih belum sempat mengundi.

Ahli Perwakilan Demokrat dari Massachusetts, Jim McGovern menyifatkan, tindakan itu sebagai tidak wajar.

Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson berkata, undian mengenai pelanjutan subsidi hanya akan dibawa pada Januari depan selepas Kongres bersidang semula.

Beliau turut menyatakan subsidi tambahan itu bukan dasar yang baik.

Tanpa kelulusan baharu, kira-kira 24 juta rakyat AS yang mendapatkan insurans melalui Obamacare berdepan kenaikan kos bermula 1 Januari 2026.

Ahli Perwakilan Demokrat dari California, Nanette Barragan berkata, langkah itu akan menyebabkan jutaan rakyat Amerika tidak lagi mampu membayar insurans kesihatan. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN