fb fb fb fb fb

Pantai Bondi dibuka semula selepas insiden tembakan maut

Orang ramai mula mengunjungi Pantai Bondi selepas kawasan itu dibuka semula kepada awam / REUTERS

SYDNEY, 18 Disember –Pantai Bondi kembali dibuka kepada orang awam selepas ditutup sementara susulan insiden tembakan yang mengorbankan 15 nyawa pada Ahad lalu.

Kawasan sekitar pantai ikonik itu sebelum ini dikawal ketat pihak berkuasa bagi tujuan siasatan dan keselamatan awam.

Tinjauan di lokasi mendapati, polis mula membuka sekatan serta membenarkan orang ramai kembali memasuki kawasan pantai dan taman berdekatan.

Sebahagian pengunjung hadir bagi memperingati mangsa, manakala pelita keagamaan Yahudi yang rosak akibat kejadian itu masih kelihatan di taman berhampiran lokasi serangan.

Seorang pengunjung, JJ Hecht berkata, masyarakat setempat terkesan dengan tragedi berkenaan namun enggan tunduk kepada ketakutan.

“Ia amat menyakitkan dan menghancurkan perasaan, tetapi kami tidak patah semangat. Kami menjadi lebih kuat dan lebih bersatu,” katanya.

Seorang lagi penduduk tempatan, Jeff berkata, Pantai Bondi mempunyai nilai peribadi yang mendalam dalam kehidupannya.

“Saya membesar di Bondi. Anak dan cucu saya juga berkhidmat sebagai penyelamat di sini. Tempat ini sebahagian daripada hidup saya,” katanya.

Insiden tembakan itu berlaku ketika ratusan orang berkumpul bagi sambutan Hanukkah pada 14 Disember lalu.

Polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun, Naveed Akram, yang didakwa atas 59 pertuduhan termasuk pembunuhan dan kesalahan berkaitan keganasan.

Bapanya, Sajid Akram, 50 tahun, ditembak mati polis di lokasi kejadian. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN