BRUSSELS, 18 Disember - Parlimen Eropah pada Rabu meluluskan undang-undang bagi mengharamkan import gas asli cecair (LNG) Rusia berkuat kuasa pada awal 2026.
Manakala import gas Rusia melalui saluran paip akan ditamatkan secara berperingkat menjelang 30 September 2027.
Undang-undang itu, yang sebelum ini telah dipersetujui oleh Majlis Kesatuan Eropah (EU), diluluskan dengan 500 undi menyokong, 120 menentang dan 32 berkecuali.
Ia kini memerlukan pengesahan rasmi Majlis sebelum diterbitkan dalam Jurnal Rasmi EU.
Undian berkenaan turut membuka laluan kepada sekatan yang lebih ketat terhadap minyak Rusia.
Dalam rundingan bersama Denmark dalam Majlis EU, ahli Parlimen Eropah (MEP) mendesak larangan sepenuhnya ke atas semua import minyak Rusia dan berjaya mendapatkan komitmen Suruhanjaya Eropah untuk membentangkan undang-undang berkaitan pada awal 2026.
Larangan itu dijangka berkuat kuasa secepat mungkin dan selewat-lewatnya menjelang akhir 2027.
MEP utama bagi Jawatankuasa Industri, Penyelidikan dan Tenaga Parlimen Eropah, Ville Niinisto, berkata keutamaan utama adalah mempercepatkan garis masa pengharaman gas saluran paip, melarang kontrak LNG jangka panjang setahun lebih awal daripada perancangan asal, serta mencegah sebarang cubaan mengelak pelaksanaan peraturan baharu itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Novatek, pengeluar gas kedua terbesar Rusia, Leonid Mikhelson, memberi amaran bahawa penyingkiran LNG Rusia daripada keseimbangan bekalan gas global akan menyebabkan kenaikan harga gas.
Sehingga Oktober lalu, Rusia menyumbang kira-kira 12 peratus daripada jumlah import gas EU, merosot ketara berbanding 45 peratus sebelum krisis Ukraine tercetus pada awal 2022.
Menurut laporan Gas 2025 Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang diterbitkan pada 27 November, pengurangan bekalan gas saluran paip, peningkatan penggunaan gas serta keperluan simpanan yang lebih tinggi dijangka meningkatkan import LNG Eropah lebih 20 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Ia sekali gus mencatat rekod baharu, manakala harga LNG dijangka kekal tinggi untuk tempoh yang panjang. - REUTERS