fb fb fb fb fb

Ribuan petani berarak di Brussels bantah perjanjian EU–Mercosur

FOTO REUTERS

BRUSSELS, 18 Disember -Ribuan petani dijangka mengadakan demonstrasi besar-besaran di Brussels pada Khamis bagi membantah rancangan Kesatuan Eropah (EU) untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan blok Amerika Selatan, Mercosur, serta cadangan pembaharuan subsidi pertanian yang dikhuatiri menjejaskan mata pencarian mereka.

Protes itu berlangsung ketika para pemimpin EU mengadakan sidang kemuncak di ibu negara Belgium tersebut.

Para petani yang memandu ratusan traktor, dijangka memasuki kawasan Eropah sekitar tengah hari sebagai tanda bantahan terhadap dasar yang sedang dipertimbangkan.

Kebimbangan utama petani, khususnya di Perancis, adalah perjanjian Mercosur yang dikhuatiri membuka laluan kepada kemasukan barangan pertanian murah dari Brazil dan negara jirannya, sekali gus menekan harga hasil tempatan dan menjejaskan daya saing pengeluar Eropah.

Perjanjian EU-Mercosur, sekiranya dimeterai, akan mewujudkan kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia dan membolehkan EU meningkatkan eksport kenderaan, jentera, wain dan minuman beralkohol ke Amerika Latin, terutama ketika ketegangan perdagangan global semakin meningkat.

Namun para petani memberi amaran bahawa perjanjian itu juga akan memudahkan kemasukan produk seperti daging lembu, gula, beras, madu dan kacang soya dari Amerika Selatan, yang dihasilkan di bawah peraturan yang dianggap lebih longgar berbanding piawaian EU.

Selain itu, mereka turut membantah cadangan Suruhanjaya Eropah untuk merombak skim subsidi pertanian bagi 27 negara anggota EU.

Petani bimbang langkah itu akan mengurangkan aliran bantuan kewangan kepada sektor pertanian, yang selama ini menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar.

Persekutuan Pertanian Wallonia (FWA) menyifatkan rancangan EU untuk mengurangkan subsidi sebanyak 20 peratus sambil meneruskan perjanjian Mercosur sebagai “langsung tidak boleh diterima”.

FWA merupakan antara lebih 40 kumpulan petani kebangsaan yang menyertai demonstrasi tersebut.

Kumpulan pelobi pertanian pan-Eropah, Copa-Cogeca, menjangkakan kira-kira 10,000 peserta akan mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu, sekali gus menjadikannya antara protes pertanian terbesar di Brussels sejak kebelakangan ini.

Usaha EU untuk memuktamadkan perjanjian tersebut menjelang akhir minggu ini turut berdepan halangan selepas Itali menyertai Perancis dalam menuntut penangguhan. Kedua-dua negara itu menggesa klausa perlindungan yang lebih kukuh, kawalan import lebih ketat serta piawaian lebih tegas terhadap pengeluar Mercosur.

Walaupun Suruhanjaya Eropah telah mencadangkan beberapa langkah perlindungan, wakil kesatuan petani Belgium, Fugea, Hugues Falys berkata para petani masih kurang yakin terhadap keberkesanannya.

“Kemarahan di kawasan luar bandar kini mencapai tahap yang belum pernah berlaku,” kata kesatuan petani Perancis, Confédération Paysanne. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD