fb fb fb fb fb

Bolivia umum hapus subsidi bahan api selepas 20 tahun

FOTO AFP

LA PAZ, 18 Disember -Presiden baharu Bolivia, Rodrigo Paz mengumumkan bahawa negara itu akan menghapuskan subsidi bahan api pada Rabu.

Pengumuman berkenaan menamatkan tempoh 20 tahun harga tetap di bawah pemerintahan pemimpin terdahulu di negara Amerika Latin itu.

“Dengan penerbitan dekri ini, harga baharu bagi hidrokarbon akan diumumkan,” kata Presiden Rodrigo Paz, seorang konservatif properniagaan yang dipilih pada Oktober lalu, dalam satu ucapan yang disiarkan secara televisyen sambil ditemani menteri-menterinya.

“Penghapusan subsidi yang direka secara lemah pada masa lalu bukan bermakna pengabaian. Ia bermakna ketertiban, keadilan, dan pengagihan yang jelas,” tambah Paz.

Kerajaan Bolivia menyalurkan import petrol dan diesel secara berpusat, membeli pada harga antarabangsa dan menjual semula dengan kerugian.

Negara itu sedang menghadapi krisis ekonomi terburuk dalam tempoh empat dekad, apabila polisi subsidi terbabit mengurangkan rizab dolar antarabangsa perbendaharaan negara.

Sejak 2023, berlaku kekurangan bahan api secara berulang di stesen minyak, dengan kenderaan beratur berjam-jam malah kadangkala berhari-hari untuk mendapatkan petrol.

Paz berkata diesel akan dikeluarkan daripada senarai bahan yang dikawal oleh kerajaan dan dipasarkan secara bebas, bagi memudahkan import oleh sektor swasta.

Beliau menambah subsidi tersebut tidak lagi boleh disalahgunakan untuk “menyembunyikan penjarahan”, dan harga akan distabilkan serta “membolehkan penjanaan sumber fiskal tambahan.” - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD