TAIPEI, 18 Disember - Pentadbiran Donald Trump telah memberi kelulusan penjualan senjata bernilai AS$11 bilion kepada Taiwan.
Kelulusan tersebut merupakan pakej kedua penjualan senjata sejak Trump kembali memegang jawatan sebagai Presiden, menurut kenyataan Taipei pada Khamis.
Pakej itu merangkumi sistem roket HIMARS, howitzer, peluru berpandu antikereta kebal, dron, dan alat ganti bagi peralatan ketenteraan lain, menurut Kementerian Luar Taiwan.
Saiz potensi perjanjian berkenaan hampir menyaingi AS$18 bilion jualan ketenteraan kepada Taiwan yang dipersetujui oleh Presiden AS ketika itu, George W. Bush, pada 2001, meskipun ia akhirnya dikurangkan selepas rundingan komersil.
Amerika Syarikat tidak mengiktiraf Taiwan sebagai sebuah negara, tetapi merupakan penyokong keselamatan terbesar bagi pulau itu.
Bekalan senjata AS merupakan penampan utama terhadap kemungkinan serangan dari China, yang menuntut Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan telah mengancam untuk menggunakan kekerasan bagi menguasai pulau terbabit.
“Ini merupakan jualan senjata kedua kepada Taiwan yang diumumkan semasa penggal kedua pentadbiran Trump, sekali lagi menunjukkan komitmen tegas AS terhadap keselamatan Taiwan,” menurut kenyataan Kementerian Luar Taiwan.
Kementerian Pertahanan Taiwan berkata jualan ini dijangka berkuat kuasa secara rasmi dalam tempoh sebulan.
Meskipun perjanjian itu masih memerlukan kelulusan Kongres AS, ia dijangka sukar untuk digagalkan memandangkan terdapat konsensus merentas parti mengenai pertahanan Taiwan.
Kerajaan Presiden Taiwan, Lai Ching-te, berikrar meningkatkan perbelanjaan pertahanan apabila China mengekalkan tekanan ketenteraan di sekitar pulau itu.
Taiwan mempunyai industri pertahanan sendiri, tetapi ketenteraannya jauh ketinggalan jika berlaku konflik dengan China, justeru ia masih sangat bergantung kepada senjata Amerika Syarikat. -AFP