BRASILIA, 18 Disember - Senat Brazil pada Rabu meluluskan rang undang-undang yang berpotensi memendekkan tempoh pemenjaraan bekas presiden, Jair Bolsonaro, yang disabitkan kesalahan merancang rampasan kuasa selepas tewas kepada Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
Rang undang-undang itu kini dihantar kepada Presiden Lula, yang dijangka memveto.
Namun Kongres mempunyai kuasa untuk mengetepikan veto tersebut.
Rang undang-undang itu diluluskan di Senat dengan undian 48-25, meskipun senator Renan Calheiros mengecamnya sebagai “sandiwara”.
Calheiros bertindak meninggalkan sesi pengundian sambil menuduh sekutu kerajaan membenarkan undian itu berlaku sebagai pertukaran untuk sokongan terhadap inisiatif belanjawan negara.
Sementara itu, penggubal rang undang-undang, Paulinho da Forca, menyifatkan langkah itu sebagai “isyarat perdamaian” kedua-dua pihak.
Tindakan berkenaan mencetuskan protes di bandar-bandar Brazil pada Ahad lalu, dengan penunjuk perasaan melaungkan “tiada kelonggaran” dan memegang sepanduk bertulis “Kongres, musuh rakyat.”
Presiden Lula menegaskan beliau akan memveto rang undang-undang itu, dan menjelaskan Bolsonaro “perlu membayar” harga atas jenayahnya.
Bolsonaro, 70, memulakan hukuman penjara selama 27 tahun pada November lalu dan menurut peraturan semasa dan dijangka menjalani sekurang-kurangnya lapan tahun hukuman sebelum layak mendapat kelonggaran hukuman.
Bagaimanapun, rang undang-undang baharu itu membolehkan beliau menjalani hukuman hanya lebih dua tahun di penjara.
Undang-undang itu disasarkan kepada individu yang disabitkan kesalahan dalam plot rampasan kuasa serta lebih 100 penyokong Bolsonaro yang terlibat dalam rusuhan Januari 2023 di ibu negara Brasilia.
Bolsonaro disabitkan kesalahan merancang percubaan untuk menghalang Lula daripada mengambilalih jawatan Presiden selepas pilihan raya 2022.
Plot itu didakwa merancang pembunuhan terhadap Lula, timbalannya Geraldo Alckmin, dan hakim Mahkamah Agung Alexandre de Moraes.
Perancangan itu gagal kerana kekurangan sokongan daripada pegawai tentera atasan.
Bolsonaro kini menjalani hukuman di bilik khas di fasiliti polis di Brasilia, selepas percubaan dramatik merosakkan gelang kaki pemantau semasa beliau di bawah tahanan rumah. - AFP