fb fb fb fb fb

Ribuan berhimpun di Honduras bantah dakwaan penipuan pilihan raya

FOTO AFP

TEGUCIGALPA, 18 Disember -Ribuan penyokong parti berhaluan kiri Honduras mengadakan demonstrasi di ibu negara pada Rabu bagi membantah apa yang dianggap sebagai “penipuan” dalam pilihan raya presiden, dengan pemenang masih belum diketahui lebih dua minggu selepas pengundian.

Pengisytiharan pemenang bagi pilihan raya 30 November bergantung kepada proses pembersihan ribuan kertas undi yang tidak konsisten.

Namun tuduhan penipuan oleh para calon bertanding telah melengahkan permulaan proses tersebut.

Ahli perniagaan konservatif, Nasry Asfura, yang disokong Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, kini mendahului dengan kelebihan tipis berbanding hos televisyen berhaluan kanan, Salvador Nasralla.

Di Tegucigalpa, kira-kira 50,000 penyokong Presiden berhaluan kiri Xiomara Castro mengecam apa yang disifatkan sebagai “rampasan kuasa pilihan raya” semasa protes itu, sambil mendakwa berlaku manipulasi keputusan serta campur tangan asing oleh Trump.

“Saya memanggil anda semua ke sini untuk… tidak membenarkan rekod pengundian dimanipulasi,” kata Castro ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.

Kedua-dua Parti iaitu Libre pimpinan Castro dan Liberal pimpinan Nasralla menuntut pengiraan semula undi namun Parti Nasional yang dianggotai Asfura menolak tuntutan itu.

Calon Parti Libre, Rixi Moncada, yang berada di tempat ketiga dalam keputusan awal, berkata beliau tidak akan berhenti sehingga tuntutannya untuk “membatalkan pilihan raya berkenaan yang penuh penipuan dalam sejarah” dipenuhi.

Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE) mempunyai tempoh sehingga 30 Disember untuk mengisytiharkan pemenang. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD