KINSHASA, 18 Disember - Kumpulan bersenjata M23 mula berundur dari bandar Uvira di timur Republik Demokratik Congo (DRC), yang telah jatuh ke tangan kumpulan pemberontak itu yang disokong Rwanda dalam satu serangan pada awal Disember lalu yang mencetuskan kemarahan Washington.
Selepas menawan bandar utama Goma dan Bukavu awal tahun ini, M23 menawan bandar strategik berhampiran sempadan Burundi itu pada Rabu lalu.
Penawanan Uvira iaitu sebuah bandar dengan ratusan ribu penduduk membolehkan kumpulan itu menguasai sempadan darat dengan Burundi dan memutuskan DRC daripada sokongan ketenteraan negara jiran itu.
Namun, serangan tersebut berlaku hanya beberapa hari selepas kerajaan Congo dan Rwanda menandatangani perjanjian damai, iaitu satu perjanjian yang dipuji Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai satu “keajaiban besar”.
Serangan itu mencetuskan kecaman keras Washington, yang berikrar akan mengambil “tindakan” susulan “pelanggaran jelas” terhadap perjanjian damai yang ditaja AS.
Pada Selasa, M23 berkata ia akan berundur “secara unilateral” dari bandar utama itu atas permintaan Amerika Syarikat.
“Pasukan kami, bermula petang ini (Rabu), telah mula meninggalkan bandar Uvira,” kata jurucakap tentera M23, Willy Ngoma, mengesahkan perkara itu pada Rabu.
Sumber tempatan dan wakil masyarakat sivil memberitahu AFP bahawa anggota M23 telah mula berundur dari bandar itu, bergerak ke arah utara, bertentangan dengan arah serangan yang dilancarkan pada awal Disember.
“Setakat ini, kami dapat melihat kenderaan tentera M23 meninggalkan bandar menuju ke utara, mungkin ke arah Luvungi,” kata seorang penduduk menerusi telefon.
“Saya melihat mereka bergerak dalam konvoi, membawa beg tentera dan senjata, menuju ke Lebuhraya Nasional 5,” lebuh raya utama kawasan itu yang melalui sepanjang sempadan Burundi merentasi dataran Ruzizi, kata seorang lagi penduduk.
“Kami tidak tahu sejauh mana mereka akan pergi… Keadaan ini agak menakutkan kerana kami tidak tahu siapa yang akan mengawal keselamatan bandar selepas mereka beredar malam ini,” tambahnya.
Apabila dihubungi AFP, kumpulan antikerajaan itu enggan menyatakan sama ada pemberontak atau polis akan kekal di bandar tersebut.
M23 menggesa “para pengantara dan rakan kongsi lain memastikan Uvira dilindungi daripada keganasan, tindakan balas dendam dan ketenteraan semula,” kata ketua sayap politiknya, Bertrand Bisimwa, menerusi X.
Beliau menambah bahawa pengunduran itu “akan selesai sepenuhnya menjelang esok.”
Sementara itu jurucakap kerajaan Congo, Patrick Muyaya, pada Rabu menyeru supaya “berwaspada” susulan “dakwaan pengunduran M23 dari Uvira”.
“Siapa yang boleh mengesahkannya? Ke mana mereka pergi? Berapa ramai mereka? Apa yang mereka tinggalkan di bandar? Kubur besar-besaran? Askar yang menyamar sebagai orang awam?” tulisnya di X.
Menteri Luar Burundi sehari sebelumnya berkata Rwanda “sekadar cuba meredakan tekanan antarabangsa”.
Walaupun Kigali tidak pernah secara jelas mengakui menyokong kumpulan bersenjata itu, Washington secara terbuka menyalahkan Rwanda atas penawanan Uvira oleh M23.
Duta AS ke Pertubuhan Bangsa Bersatu, Mike Waltz, pada Jumaat mengecam “skala dan penglibatan Rwanda di timur DRC, sambil menuduh Kigali mengerahkan sehingga 7,000 anggota tentera di kawasan itu.
M23 sentiasa menafikan sebarang kaitan dengan Rwanda dan mendakwa matlamatnya adalah untuk menggulingkan kerajaan Presiden Congo, Felix Tshisekedi.
Serangan M23 di Uvira mengorbankan puluhan nyawa, mencederakan sekurang-kurangnya 100 orang dan menyebabkan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut NGO dan PBB.
Sekurang-kurangnya 85,000 pelarian telah melarikan diri ke Burundi, di mana mereka kini hidup dalam keadaan amat daif, menurut pegawai Burundi.
Perjanjian damai yang ditandatangani di Washington itu bertujuan menamatkan konflik selama tiga dekad di timur DRC yang kaya dengan sumber mineral.
Perjanjian turut merangkumi komponen ekonomi bagi menjamin bekalan mineral kritikal kepada Amerika Syarikat, ketika Washington berusaha mencabar dominasi China dalam sektor berkenaan.- AFP