fb fb fb fb fb

Populariti merudum, Trump janji perkukuh ekonomi AS

FOTO AFP

WASHINGTON, 18 Disember - Presiden Donald Trump dijadual membentangkan pelan untuk menjadikan Amerika Syarikat “lebih kuat daripada sebelumnya” dalam ucapan televisyen kepada rakyat pada Rabu.

Rancangan berkenaan dilakukan ketika tahap popularitinya semakin merosot susulan kritikan terhadap pengendalian ekonomi.

Ucapan Trump pada penghujung tahun pertama beliau kembali ke White House itu berlangsung di tengah-tengah kebimbangan Parti Republikan bahawa pengundi yang marah dengan kenaikan kos sara hidup akan menghukum mereka dalam pilihan raya pertengahan penggal pada November 2026.

“Mesej malam ini ialah kami mewarisi keadaan yang kucar-kacir, dan kami telah melakukan tugas yang sangat baik, dan kami akan terus melakukannya, dan negara kita akan menjadi lebih kuat daripada sebelumnya dalam masa terdekat,” kata Trump kepada pemberita.

Beliau bercakap selepas menghadiri satu majlis penuh hiba bagi memperingati kepulangan jenazah dua anggota tentera AS dan seorang orang awam Amerika yang ditembak mati di Syria pada hujung minggu lalu.

Trump juga dijangka memberi bayangan mengenai dasar-dasarnya untuk 2026, susulan pelaksanaan dasar perlindungan dan nasionalisme yang tegas pada awal penggal keduanya.

Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, berkata ucapan itu akan menumpukan kepada “pencapaian bersejarah” Trump termasuk usaha menangani inflasi yang menurut Trump berpunca daripada pentadbiran Demokrat terdahulu, Joe Biden serta menangani imigresen.

Leavitt berkata bahawa presiden juga akan bercakap mengenai rancangannya “untuk terus berkhidmat kepada rakyat Amerika sepanjang tiga tahun akan datang.”

Trump, seorang jutawan dan presiden tertua yang pernah dipilih dalam sejarah Amerika Syarikat (AS), sering membanggakan kemunculan era “zaman keemasan” baharu di Amerika.

Beliau baru-baru ini menilai ekonomi sebagai “A++++” dan mengecam apa yang disifatkannya sebagai “penipuan kemampuan” oleh Demokrat lawan politiknya.

Namun tinjauan pendapat menunjukkan pengundi AS semakin marah dengan harga tinggi barangan keperluan harian, daripada petrol hingga barangan runcit, yang menurut pakar sebahagiannya dipacu oleh tarif yang dikenakan Trump ke atas rakan dagang.

Trump menerima penarafan kelulusan terburuk pernah dicatatkan bagi pengendalian ekonomi dalam tinjauan PBS News/NPR/Marist yang diterbitkan pada Rabu, dengan 57 peratus rakyat Amerika tidak bersetuju dan menyuarakan kebimbangan terhadap kos sara hidup.

Tinjauan YouGov yang diterbitkan pada Selasa pula menunjukkan 52 peratus rakyat Amerika berpendapat ekonomi semakin merosot di bawah pentadbiran Trump.

Beliau turut berdepan kritikan daripada dalam gerakan Make America Great Again (MAGA) sendiri kerana terlalu memberi tumpuan kepada usaha damai di Ukraine dan Gaza serta ketegangan dengan Venezuela, berbanding isu domestik.

Parti Republikan mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya November lalu bagi jawatan Datuk Bandar New York serta jawatan gabenor di Virginia dan New Jersey, manakala Demokrat memberi saingan sengit di kawasan yang sebelum ini dianggap kubu selamat di Tennessee.

Presiden Trump kini meningkatkan jelajah domestiknya bagi menyampaikan mesej ekonomi.

Minggu lalu di Pennsylvania, beliau berjanji untuk “menjadikan Amerika mampu milik semula,” dan pada Jumaat ini beliau dijadual mengadakan satu lagi perhimpunan ala kempen di North Carolina.

Naib Presiden JD Vance, yang semakin menonjol sebagai jurucakap Trump mengenai isu ekonomi sambil mengintai peluang bertanding jawatan presiden pada 2028 menggesa pengundi supaya bersabar dalam ucapan pada Selasa.

“Mereka tahu Rom tidak dibina dalam sehari,” kata Vance di Pennsylvania.

Ketua kakitangan Trump, Susie Wiles, berkata dalam satu artikel Vanity Fair yang diterbitkan pada Selasa bahawa program presiden itu akan menampilkan “lebih banyak perbincangan mengenai ekonomi domestik dan kurang mengenai Arab Saudi.” -AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD