WASHINGTON, 18 Disember -Kongres Amerika Syarikat menamatkan sekatan yang dikenakan ke atas Syria di bawah kepimpinan bekas Presiden Bashar al-Assad secara kekal.
Penamatan sekatan berkenaan sekali gus membuka laluan kepada kemasukan semula pelaburan ke negara yang musnah akibat perang itu.
Presiden Donald Trump sebelum ini telah dua kali menggantung pelaksanaan sekatan tersebut susulan rayuan Arab Saudi dan Turkiye, sekutu kepada kerajaan baharu yang dipimpin Ahmed al-Sharaa.
Bagaimanapun, Sharaa menuntut penamatan kekal sekatan berkenaan kerana bimbang selagi langkah itu masih termaktub dalam undang-undang, ia akan menggugat perniagaan yang gusar terhadap risiko perundangan di ekonomi terbesar dunia.
Senat meluluskan pemansuhan Akta Caesar 2019 sebagai sebahagian daripada pakej pertahanan tahunan berskala besar. Senat mengundi 77 menyokong dan 20 menentang rang undang-undang itu, yang sebelum ini telah diluluskan oleh Dewan Perwakilan dan dijangka ditandatangani oleh Trump.
Pemansuhan tersebut, yang mendapat sokongan meluas daripada penggubal undang-undang kedua-dua parti, “merupakan langkah tegas ke arah memberi rakyat Syria peluang untuk membina semula selepas berdekad-dekad penderitaan yang tidak terbayangkan,” kata Senator Jeanne Shaheen, Demokrat kanan dalam Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat.
Sementara itu, Damsyik menyifatkan keputusan itu sebagai satu titik perubahan.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Senat AS atas sokongan mereka kepada rakyat Syria serta undian untuk memansuhkan Akta Caesar,” kata Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai “perkembangan positif yang membuka ufuk baharu untuk kerjasama dan perkongsian antara negara kami dengan dunia.”
Akta Caesar, yang dinamakan sempena seorang jurugambar tanpa nama yang mendokumentasikan kekejaman di penjara-penjara Assad, telah menyekat pelaburan dengan ketara dan memutuskan Syria daripada sistem perbankan antarabangsa.
Undang-undang itu bertujuan menghalang kemasukan perniagaan asing untuk membina semula Syria pada ketika ia kelihatan seolah-olah Assad telah muncul sebagai pemenang selepas lebih sedekad perang saudara yang kejam, yang mencetuskan aliran besar pelarian ke Eropah dan turut menyumbang kepada kelahiran gerakan ekstremis Negara Islam (IS).