fb fb fb fb fb

Pencabulan Israel, terus ragut banyak nyawa di Gaza

Keadaan di Gaza/ REUTERS

GAZA, 18 Disember - Israel berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata di Gaza dan menyebabkan kira-kira 400 rakyat Palestin terkorban sejak perjanjian tersebut mula berkuat kuasa.

Pegawai Kanan Hamas, Ghazi Hamad berkata, rejim Zionis itu telah melakukan lebih 800 pelanggaran, termasuk pembunuhan, serangan ke atas orang awam, pengeboman dan pembunuhan berprofil tinggi sejak perjanjian gencatan senjata dilaksanakan pada 10 Oktober lalu.

Israel juga berulang kali melanggar 'garis kuning', iaitu zon yang sepatutnya dikosongkan tenteranya sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata. Hampir 95 peratus daripada mereka yang terkorban adalah orang awam.

Selain itu, Hamad mendakwa pihak Israel menghalang masuk bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa. Tentera Israel juga masih menyembunyikan maklumat mengenai tahanan Palestin dan individu hilang.

Hamad menyeru pihak-pihak yang menjadi perantara serta institusi antarabangsa yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan tentera Israel daripada terus melanggar perjanjian gencatan senjata serta mengekalkan kestabilan di Gaza.

"Israel harus menanggung sepenuhnya tanggungjawab atas semua tindakan yang melanggar dan merosakkan perjanjian keamanan,"tegas beliau.

Pada hari yang sama, jurucakap Hamas, Hazem Qassem, memaklumkan bahawa keadaan cuaca buruk dan sekatan berterusan Israel menyebabkan khemah dan tempat perlindungan di Gaza dilanda banjir.

Susulan kejadian itu ramai kanak-kanak maut akibat kesejukan, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius.

Qassem berkata, tentera Israel hanya membenarkan kurang 10 peratus bekalan bahan api yang dijanjikan masuk ke Gaza, manakala kekurangan peralatan pemanas yang kritikal, selain penurunan suhu secara mendadak, menjadikan keadaan hidup rakyat Gaza semakin sukar.

"Sekiranya masyarakat antarabangsa tidak campur tangan dengan segera, Gaza akan menghadapi bencana yang tidak dapat dielakkan," tambah beliau.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI