fb fb fb fb fb

AS lulus pakej senjata terbesar kepada Taiwan bernilai AS$11.1 bilion

Foto hiasan

TAIPEI, 18 Disember -Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan senjata bernilai AS$11.1 bilion kepada Taiwan.

Ia disifatkan sebagai pakej terbesar pernah diluluskan kepada pulau itu, bagi memperkukuh keupayaan pertahanannya.

Kementerian Pertahanan Taiwan memaklumkan, kelulusan tersebut dibuat oleh kerajaan AS pada 17 Disember dan kini memasuki peringkat notifikasi kepada Kongres sebelum dimuktamadkan.

"Pakej berkenaan merangkumi lapan kategori peralatan ketenteraan yang bertujuan meningkatkan daya cegah serta kesiapsiagaan pertahanan Taiwan.

AS berlandaskan Akta Hubungan Taiwan dan Enam Jaminan, terus membantu Taiwan mengekalkan keupayaan mempertahankan diri yang mencukupi serta membina daya cegah yang kukuh,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Taiwan.

Antara peralatan yang terlibat ialah sistem roket mobiliti tinggi HIMARS, meriam automatik M109A7, peluru berpandu antikereta kebal TOW, sistem dron Altius, sokongan penyelenggaraan misil Harpoon, serta alat ganti dan pembaikan helikopter AH-1W.

Menurut kementerian itu lagi, perolehan tersebut berada bawah bajet khas bagi memperkukuh daya tahan pertahanan dan strategi peperangan tidak simetri Taiwan.

Sementara itu, Pejabat Presiden Taiwan menyifatkan, kelulusan berkenaan sebagai bukti kerjasama keselamatan yang kukuh antara Taipei dan Washington.

Jurucakap Pejabat Presiden, Karen Kuo berkata, Taiwan akan terus memperkukuh keupayaan pertahanannya demi menjaga keselamatan negara dan kestabilan serantau.

“Taiwan akan terus melaksanakan pembaharuan pertahanan, memperkukuh daya tahan seluruh masyarakat dan mempertahankan keamanan melalui kekuatan,” katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Luar China membantah penjualan senjata tersebut dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang menjejaskan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.

China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, namun pendirian itu ditolak oleh Taipei. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN