fb fb fb fb fb

EU berdepan keputusan kritikal guna aset beku Rusia bantu Ukraine

Ursula von der Leyen, Presiden Suruhanjaya Eropah / REUTERS

BRUSSELS, 18 Disember -Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) berdepan keputusan kritikal untuk mencapai persetujuan sama ada aset bank pusat Rusia yang dibekukan boleh digunakan bagi membiayai bantuan kewangan kepada Ukraine.

Isu itu menjadi tumpuan utama Sidang Kemuncak EU, ketika blok itu berusaha mencari dana jangka panjang bagi menampung keperluan Ukraine dalam tempoh dua tahun akan datang.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, EU komited untuk menampung sebahagian besar jurang pembiayaan Ukraine yang dianggarkan mencecah €137 bilion.

“Kami telah berjanji untuk menampung dua pertiga daripada jumlah itu, iaitu sekitar €90 bilion,” katanya kepada media.

Cadangan Suruhanjaya Eropah adalah menggunakan aset bank pusat Rusia yang dibekukan, kebanyakannya disimpan di Belgium, sebagai jaminan pinjaman berskala besar kepada Kyiv.

Namun, Belgium menyuarakan kebimbangan dari sudut perundangan, khususnya berkaitan risiko dan liabiliti sekiranya langkah itu dicabar di mahkamah.

Von der Leyen menyifatkan kebimbangan Belgium sebagai munasabah dan menegaskan risiko tersebut perlu ditanggung bersama oleh semua negara anggota.

“Jika pinjaman reparasi dilaksanakan, risikonya mesti dikongsi bersama. Ini soal solidariti, prinsip teras Kesatuan Eropah,” katanya.

Perdana Menteri Poland, Donald Tusk pula memberi amaran, kegagalan bertindak segera boleh membawa implikasi lebih besar kepada Eropah.

“Sama ada wang hari ini atau darah esok. Ini bukan hanya soal Ukraine, tetapi keselamatan Eropah,” katanya.

Sebaliknya, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban menolak keras cadangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai langkah berbahaya.

“Mengambil wang pihak lain dan memberikannya kepada satu pihak lagi bermakna EU sedang melangkah masuk ke dalam peperangan,” katanya.

Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas memaklumkan, cadangan terkini telah mengambil kira kebimbangan Belgium dengan memastikan risiko dan beban ditanggung secara kolektif melalui mekanisme EU.

“Kami berharap keputusan dapat dicapai hari ini,” katanya.

Sidang kemuncak itu dilihat sebagai ujian besar keupayaan EU untuk bertindak secara bersatu dalam menangani perang berterusan di Ukraine, ketika tekanan geopolitik semakin memuncak. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN