LONDON, 18 Disember -Cermin mata pintar XRAI yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) berupaya memaparkan sari kata masa nyata, sekali gus meningkatkan akses komunikasi golongan pekak dan kurang pendengaran.
Teknologi itu diperkenalkan dalam satu sesi ujian di sini, melibatkan komuniti pekak serta pengguna alat bantuan pendengaran.
Ketua Pemasaran XRAI Inc., Jack Bloomfield berkata, XRAI Glass menukar pertuturan secara langsung kepada teks dan memaparkannya terus dalam medan penglihatan pengguna, tanpa gangguan ketara dalam aliran perbualan.
Jelas beliau, kelewatan walaupun beberapa saat boleh menjejaskan kefahaman golongan pekak, justeru XRAI menggabungkan beberapa enjin sari kata terkemuka dunia bagi memastikan kelajuan dan ketepatan.
"Teknologi itu diinspirasikan daripada pengalaman peribadi pengasasnya, Dan Scarfe, yang melihat datuknya kembali terlibat dalam perbualan keluarga selepas menggunakan sari kata pada televisyen.
Daripada situ, tercetus idea untuk membawa sari kata keluar daripada skrin dan diterapkan dalam dunia sebenar," katanya.
Sementara itu, Chef selebriti pekak, Yvonne Cobb menyifatkan, teknologi berkenaan memberi keyakinan tambahan ketika berinteraksi dalam perbualan harian.
“Ia membuatkan saya rasa selamat, seolah-olah ada seseorang yang membantu saya ketika berkomunikasi,” katanya.
Versi terbaharu, XRAI AR2, menyokong pengecaman bahasa automatik serta terjemahan masa nyata lebih 300 bahasa dan boleh digunakan bersama telefon pintar, tablet serta komputer.
Selain kegunaan peribadi, teknologi itu turut digunakan dalam acara korporat dan teater, membolehkan setiap persembahan diakses tanpa menunggu sesi khas bersari kata.
Cermin mata pintar XRAI dijual pada harga £699. -REUTERS