fb fb fb fb fb

Petani baling bom asap, kentang ketika pemimpin EU bersidang di Brussels

Seorang petani membaling bom asap ke arah polis ketika mesyuarat Kesatuan Eropah (EU) berlangsung / REUTERS

BRUSSELS, 18 Disember -Ratusan petani bertindak membaling bom asap dan kentang ke arah polis ketika pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bermesyuarat bagi membincangkan dasar perdagangan dan pertanian, di sini, hari ini.

Demonstrasi itu menyaksikan petani dari beberapa negara Eropah memandu traktor masuk ke pusat bandar Brussels, membunyikan hon dan menyekat lalu lintas utama.

Sebahagian penunjuk perasaan dilihat menggunakan traktor sebagai perlindungan ketika melontar barangan ke arah pasukan keselamatan yang sedang berkawal.

Polis bertindak balas dengan menggunakan semburan air bertekanan tinggi bagi menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang berada berhampiran sekatan.

Petani mendakwa sektor pertanian Eropah berdepan krisis berpanjangan dan menuduh EU menjejaskan sumber pendapatan mereka melalui perjanjian perdagangan, termasuk perjanjian Mercosur.

Mereka juga menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pengurangan peruntukan Dasar Pertanian Bersama EU yang disifatkan bakal meningkatkan persaingan dan menekan harga hasil pertanian.

Demonstrasi itu bertujuan memberi tekanan kepada pemimpin EU ketika mereka mempertimbangkan keutamaan bajet serta hala tuju perjanjian perdagangan baharu. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN