GENEVA, 18 Disember -Lebih 1,000 orang awam terbunuh selepas Pasukan Sokongan Pantas (RSF) merampas Kem Pelarian Zamzam di Darfur Utara pada April lalu.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), serangan itu berlaku di sebuah kem pelarian yang menempatkan hampir setengah juta penduduk awam yang melarikan diri daripada konflik bersenjata di Sudan.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB melaporkan, selain pembunuhan, serangan selama tiga hari itu turut menyaksikan berlakunya penyeksaan, penculikan, rogol serta keganasan seksual berskala besar.
Akibat serangan berkenaan, lebih 400,000 penduduk terpaksa dipindahkan semula, sekali gus memburukkan krisis kemanusiaan di wilayah Darfur.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk berkata, pembunuhan disengajakan terhadap orang awam atau individu yang tidak lagi terlibat dalam pertempuran berpotensi diklasifikasikan sebagai jenayah perang.
“Pembunuhan sengaja terhadap orang awam atau individu yang tidak lagi terlibat dalam pertempuran boleh merupakan jenayah perang pembunuhan,” katanya.
Laporan itu turut merekodkan sekurang-kurangnya 104 mangsa keganasan seksual, termasuk wanita dan kanak-kanak perempuan.
Tindakan itu didakwa digunakan secara sengaja bagi menimbulkan ketakutan dalam komuniti.
Penemuan tersebut berdasarkan temu bual dengan 155 mangsa dan saksi yang melarikan diri ke Chad pada Julai lalu.
RSF tidak memberikan maklum balas segera apabila diminta memberikan komen terhadap dakwaan tersebut.
Bagaimanapun kumpulan itu sebelum ini menafikan menyasarkan orang awam dan menyatakan akan mengambil tindakan terhadap anggotanya sekiranya berlaku pelanggaran.
PBB menyatakan, serangan di Zamzam menjadi petanda awal kepada serangan lebih besar di bandar al-Fashir pada Oktober, yang turut mencetuskan dakwaan pembunuhan dan penculikan beramai-ramai. -REUTERS