SOCHACZEW, 19 Disember -Poland mengumumkan sistem pertahanan udara dan peluru berpandu Patriot miliknya kini mencapai tahap kesiapsiagaan tempur penuh.
Ia menandakan satu pencapaian penting dalam usaha pemodenan pertahanan negara itu.
Pengumuman dibuat selepas sistem berkenaan berjaya diintegrasikan sepenuhnya dengan Integrated Battle Command System (IBCS).
Sistem yang dibangunkan Amerika Syarikat itu, membolehkan pengesanan dan pemintasan peluru berpandu, pesawat serta dron dilakukan secara bersepadu.
Sistem Patriot merupakan teras kepada Program Wisla Poland yang bertujuan membina rangkaian pertahanan udara berlapis, khususnya di sayap timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Menteri Pertahanan Poland, Wladyslaw Kosiniak-Kamysz, berkata, Patriot adalah komponen paling bernilai dalam sistem pertahanan nasional negara itu, meskipun kos mempertahankan ruang udara jauh lebih tinggi berbanding kos ancaman yang dilancarkan.
“Kos mempertahankan diri daripada peluru berpandu atau dron boleh menjadi berkali ganda lebih tinggi daripada kos senjata yang dilancarkan,” katanya.
Menurut pihak berkuasa Poland, integrasi IBCS membolehkan sistem itu berfungsi secara berangkaian dan memberi keupayaan pertahanan peluru berpandu balistik, yang sebelum ini tidak dimiliki angkatan tenteranya.
Pengumuman itu dibuat ketika Poland memperkukuh keupayaan pertahanannya susulan konflik berterusan di Ukraine, memandangkan negara itu berkongsi sempadan berhampiran zon perang.
Pada Mac lalu, Poland menandatangani perjanjian hampir AS$2 bilion dengan Amerika Syarikat bagi sokongan logistik sistem Patriot, termasuk latihan dan sokongan teknikal.
Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, Amerika Syarikat turut menyediakan lebih AS$11 bilion dalam bentuk pinjaman dan jaminan untuk program persenjataan Poland.
Warsaw menyasarkan perbelanjaan pertahanan sebanyak 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 dan lima peratus pada 2026, antara yang tertinggi dalam kalangan negara NATO. -REUTERS