fb fb fb fb fb

Sri Lanka muflis? Harga bahan api melonjak 35% menjelang rundingan IMF

(Penduduk terpaksa menunggu lama untuk membeli bahan api
di Colombo pada 15 April 2022/AFP)

COLOMBO, 18 April- Harga runcit bahan api di Sri Lanka naik sehingga 35% pada Isnin, langkah dibuat peruncit utama bahan api di negara itu tatkala kerajaan berdepan masalah ekonomi yang serius dan bersedia mengadakan rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan ekonomi.

Sri Lanka kini berdepan krisis ekonomi paling buruk sejak kemerdekaan dari Britain pada 1948. Keadaan itu menyebabkan rakyat kekurangan bahan api, bekalan makanan dan perubatan yang serius.

Menurut Lanka IOC,  peruncit utama yang menyumbang satu pertiga daripada keseluruhan pasaran bahan api tempatan, syarikat terpaksa menaikkan harga diesel sebanyak 75 rupee kepada 327 rupee seliter manakala petrol sebanyak 35 rupee kepada 367 rupee atau kira-kira RM5.09 seliter.

Manakala syarikat kendalian kerajaan, Ceylon Petroleum Corporation; menyumbang dua pertiga daripada pasaran dan telah mengenakan catuan bahan api pada minggu lalu, tidak menaikkan harga, namun kebanyakan stesen minyak kendaliannya sudah habis bekalan.

Lanka IOC, syarikat Indian Oil Corporation memberitahu, penyusutan mendadak mata wang tempatan mendorong syarikat menyemak semula harga runcit bahan api semasa selepas dinaikkan 20%, tiga minggu lalu.

Sejak awal tahun, harga bahan api meningkat 90% manakala diesel yang kebiasanyan digunakan kenderaan awam, meningkat sehingga 138%.

"Kejatuhan nilai mata wang rupee lebih 60% sebulan lalu mendorong Lanka IOC sekali lagi meningkatkan harga jualan runcit berkuat kuasa hari ini,” kata syarikat itu.


(Penduduk Colombo berbaris untuk membeli bahan api pada 11 April 2022/AFP)

Peningkatan harga itu berlaku tatkala Menteri Kewangan baharu Sri Lanka, Ali Sabry mengetuai delegasi ke Washington bagi mendapatkan bantuan kewangan antaran AS$3 – AS$4 bilion daripada IMF bagi mengatasi masalah imbangan pembayaran seterusnya meningkatkan rizab yang semakin berkurangan.

Minggu lepas, kerajaan Sri Lanka mengumumkan penggantungan sementara pembayaran balik semua hutang luar negaranya kerana tidak lagi mampu memenuhi komitmen melunaskan hutang selepas kedudukan kewangan semakin lemah akibat kejutan luaran dan dalaman.

Kerajaan turut mengumumkan dagangan Bursa Saham Colombo dihentikan selama lima hari mulai Isnin tatkala bimbang akan kejatuhan pasaran.

Krisis ekonomi Sri Lanka semakin buruk kesan pandemik COVID-19 yang mengurangan kiriman wang rakyat Sri Lanka yang bekerja di luar negara serta melumpuhkan sektor pelancongan yang menjadi sumber hasil negara.

Pada Mac 2020, kerajaan telah mengenakan larangan import secara meluas bagi menyelamatkan mata wang asing dan kini berdepan rekod inflasi terburuk atau mungkin muflis. -AFP

Media Baharu