WASHINGTON, 2 Julai- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa pejuang Hamas untuk menerima cadangan gencatan senjata selama 60 hari di Gaza, serta mendakwa Israel telah bersetuju dengan syarat-syarat utama bagi memuktamadkan perjanjian itu.
Trump menerusi satu hantaran di media sosial, memaklumkan wakilnya telah mengadakan pertemuan dengan pihak Israel berhubung konflik yang sedang meruncing, menjelang lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Washington minggu hadapan.
“Israel telah bersetuju dengan syarat-syarat yang diperlukan untuk memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari, dan dalam tempoh itu, kami akan bekerjasama dengan semua pihak untuk menamatkan perang,” ujar Trump.
Beliau berkata wakil Qatar dan Mesir yang bertindak sebagai perantara dalam rundingan konflik akan menyampaikan 'cadangan terakhir' tersebut.
“Saya berharap, demi kebaikan Asia Barat, Hamas akan menerima perjanjian ini kerana tiada tawaran yang lebih baik akan datang, keadaan hanya akan bertambah buruk,” tambahnya.
Trump sebelum ini kononnya, akan bersikap tegas terhadap Netanyahu semasa pertemuan pada 7 Julai.
Berakhirnya perang selama 12 hari antara Israel dan Iran didakwa membuka ruang diplomatik bagi rundingan damai tersebut. Trump dilihat bercita-cita mewujudkan satu lagi perjanjian damai, sebagai senarai kejayaannya.
Bagaimanapun, kempen ketenteraan Israel di Gaza masih berterusan. Agensi pertahanan awam di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 26 rakyat Palestin terbunuh pada Selasa akibat serangan tentera Israel.-AFP