DAKAR, SENEGAL, 2 Julai – Puluhan penunjuk perasaan bertempur dengan pihak polis di ibu negara Senegal, Dakar pada Isnin lalu selepas satu tunjuk perasaan bertukar menjadi rusuhan.
Protes tercetus susulan kematian dua individu yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan identiti oleh polis.
Menurut saksi, tindakan keras polis semasa pemeriksaan itu mencetuskan kemarahan orang ramai sehingga membawa kepada rusuhan.
Rakaman dari lokasi kejadian memaparkan pasukan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang bertindak membaling objek ke arah mereka.
Sebuah jengkaut turut kelihatan berada di antara dua kumpulan terbabit sebelum pihak berkuasa mara dan membalas dengan objek balingan ke arah penunjuk perasaan.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila serpihan dan runtuhan berselerak di jalanan, dengan beberapa kebakaran dilaporkan berlaku sepanjang rusuhan tersebut.
Bagaimanapun, ketegangan dilaporkan reda selepas pihak berkuasa mencapai persetujuan dengan penunjuk perasaan susulan pembebasan seorang individu yang ditahan dalam insiden berkenaan.
Polis kemudian berundur daripada lokasi pada pukul 1.10 pagi Selasa waktu tempatan.
Satu siasatan telah dilancarkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang meragut dua nyawa itu. - VIORY