MASTUNG, PAKISTAN, 2 Julai – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilaporkan terkorban, manakala sembilan yang lain cedera dalam satu serangan bersenjata di bandar Mastung, wilayah Balochistan, barat daya Pakistan pada Selasa.
Serangan itu menyasarkan bangunan kerajaan dan institusi kewangan, menyebabkan beberapa premis terbakar termasuk pejabat pentadbiran cukai dan tiga buah bank.
Rakaman di lokasi kejadian menunjukkan anggota bomba bergelut memadam kebakaran yang memusnahkan bangunan serta beberapa kenderaan rasmi dan motosikal.
Dokumen rasmi turut dilaporkan musnah dalam insiden itu.
Menurut laporan media tempatan, kumpulan bersenjata tidak dikenali menceroboh masuk ke pejabat cukai tempatan sebelum membakar empat kenderaan kerajaan.
Mereka turut menyerang Bank Negara Pakistan serta dua bank lain, selain menahan beberapa kakitangan sebagai tebusan dan membakar arkib bank berkenaan.
Beberapa letupan turut kedengaran, dipercayai berpunca daripada lontaran bom tangan, termasuk satu letupan besar di pintu utama Bank Negara.
Pihak keselamatan kemudian mengepung kawasan berkenaan dan melancarkan operasi mencari, yang membawa kepada pertempuran bersenjata.
Beberapa penyerang berjaya melarikan diri, manakala sebahagian lagi ditembak mati.
Setakat ini, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut. - VIORY