fb fb fb fb fb

Sri Lanka laksana banci hidupan liar perosak

Foto AFP

ANURADHAPURA, 15 Mac – Sri Lanka melaksanakan bancian hidupan liar perosak termasuk monyet dan burung merak bagi merangka langkah menangani ancaman terhadap hasil tanaman.

Seramai 40,000 pegawai tempatan telah dikerahkan bagi mengira babi hutan, lotong, burung merak, dan monyet yang berada di kawasan ladang serta berhampiran kediaman dalam tempoh lima minit.

Di daerah Anuradhapura di utara-tengah negara itu, keluarga petani berkumpul di kawasan terbuka bagi menjalankan bancian dan merekod jumlah haiwan dalam borang yang disediakan oleh Kementerian Pertanian.

Pegawai kementerian, Ajith Pushpakumara berkata bancian dilakukan dalam tempoh singkat bagi mengelakkan pengiraan berganda.

“Kami menjangkakan keputusan yang diperoleh adalah sekitar 80 peratus tepat. Setelah mengetahui jumlah sebenar haiwan ini, kita boleh merancang langkah seterusnya untuk mengatasi masalah ini,” katanya kepada wartawan di Colombo.

Di Anuradhapura, kira-kira 200 kilometer ke utara Colombo, penduduk turun ke ladang seawal pagi untuk bancian tersebut.

“Kami mendapat sambutan yang amat baik daripada peserta yang bersemangat. Mereka adalah petani yang sentiasa mengalami kerosakan tanaman akibat hidupan liar. Dalam bancian kami, terdapat 227 monyet toque dan 65 lotong muka ungu,” kata pegawai Jabatan Pertanian, Chaminda Dissanayake, yang mengetuai bancian di Mihintale, Anuradhapura.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen pembangkang, Nalin Bandara, mengkritik usaha tersebut dengan menyifatkannya sebagai satu pembaziran.

“Ini adalah kegagalan sepenuhnya, satu pembaziran wang. Bagaimana pula dengan perosak yang menyerang ladang pada waktu malam? Mereka tidak dikira,” katanya, sambil menambah bahawa teknologi moden sepatutnya digunakan untuk tugas tersebut.

Menurut pegawai, lebih satu pertiga hasil tanaman musnah akibat serangan hidupan liar, termasuk gajah yang dilindungi undang-undang kerana dianggap suci.

Walaupun gajah merupakan ancaman utama kepada ladang padi dan kebun buah-buahan, haiwan tersebut tidak termasuk dalam bancian yang dijalankan pada Sabtu.

Pada tahun 2023, Menteri Pertanian ketika itu mencadangkan penghantaran kira-kira 100,000 monyet toque ke zoo di China, namun rancangan tersebut dibatalkan selepas menerima bantahan daripada aktivis alam sekitar.

Sri Lanka turut mengeluarkan beberapa spesies haiwan daripada senarai perlindungan pada 2023, termasuk ketiga-tiga spesies monyetnya, burung merak, dan babi hutan, sekali gus membolehkan petani membunuh haiwan tersebut.–AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN