WASHINGTON, 15 Mac – Pengasas SpaceX, Elon Musk mengumumkan roket gergasi Starship dijadual berlepas ke Marikh pada akhir tahun 2026 dengan membawa robot humanoid Tesla, Optimus.
Beliau turut menyatakan pendaratan manusia di planet merah itu boleh berlaku seawal 2029.
"Starship akan berlepas ke Marikh pada penghujung tahun depan, membawa Optimus. Jika pendaratan tersebut berjalan lancar, maka pendaratan manusia mungkin bermula seawal 2029, walaupun 2031 lebih berkemungkinan," kata Musk dalam satu hantaran di rangkaian sosialnya, X.
Starship, yang merupakan roket terbesar dan paling berkuasa di dunia, merupakan elemen penting dalam visi jangka panjang Musk untuk meneroka dan menjajah Marikh.
Sementara itu, NASA turut menantikan versi Starship yang telah diubah suai sebagai pendarat bulan bagi program Artemis, yang bertujuan menghantar angkasawan kembali ke Bulan dalam dekad ini.
Namun begitu, sebelum SpaceX dapat melaksanakan misi tersebut, syarikat itu perlu membuktikan kebolehpercayaan roket berkenaan, selain memastikan ia selamat untuk kru serta mampu melakukan pemindahan bahan api kompleks di orbit – elemen penting bagi misi angkasa lepas yang lebih jauh.
Dalam perkembangan berkaitan, SpaceX berdepan cabaran bulan ini apabila ujian penerbangan terbaharu prototaip Starship berakhir dengan letupan, meskipun booster berjaya ditangkap dalam ujian orbitnya.
Insiden tersebut hampir menyerupai percubaan terdahulu, apabila beberapa minit selepas pelancaran dan pemisahan booster, siaran langsung menunjukkan bahagian atas roket berpusing di luar kawalan sebelum isyarat terputus secara tiba-tiba.
Sehubungan itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menyatakan bahawa SpaceX perlu menjalankan siasatan sebelum dibenarkan untuk melancarkan roket tersebut sekali lagi.-AFP