fb fb fb fb fb

Moscow gagalkan serangan dron besar-besaran Ukraine

Foto AFP

MOSCOW, 15 Mac – Rusia pada Sabtu mendakwa telah menembak jatuh 126 dron Ukraine dalam satu serangan semalaman, kebanyakannya di wilayah selatan Volgograd dan Voronezh, selepas Moscow menolak cadangan gencatan senjata segera oleh Amerika Syarikat (AS).

Presiden Rusia, Vladimir Putin, minggu ini menyatakan bahawa beliau menyokong idea gencatan senjata dengan Ukraine, namun mempunyai "persoalan serius" mengenai pelaksanaannya dan mahu membincangkannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataan memaklumkan bahawa sebanyak 64 dron telah dipintas di Volgograd dan Voronezh, manakala selebihnya menyasarkan kawasan sempadan.

Ukraine telah melancarkan serangan dron ke wilayah Rusia sejak permulaan operasi ketenteraan Moscow, dan pada Isnin lalu, ia menyerang rantau Moscow dengan jumlah dron terbesar sejak konflik bermula pada 2022.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN