BANGKOK, 15 Mac – Thailand memberi maklum balas terhadap sekatan visa yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap pegawai kerajaan yang terlibat dalam penghantaran pulang puluhan etnik Uyghur ke China, dengan menyatakan pihaknya telah menerima jaminan keselamatan mereka.
Keputusan kerajaan Thailand untuk menyerahkan sekurang-kurangnya 40 etnik Uyghur, yang diterbangkan dengan pesawat khas ke wilayah Xinjiang, China pada akhir Februari, mendapat kecaman antarabangsa.
Kumpulan Uyghur tersebut telah bertahun-tahun ditahan di pusat tahanan Thailand selepas melarikan diri dari China lebih sedekad lalu.
Pada Jumaat, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mengumumkan sekatan visa terhadap beberapa pegawai Thailand, sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara, kerana terlibat dalam penghantaran pulang itu.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar Negeri Thailand menyatakan pihaknya mengambil maklum keputusan AS dan menegaskan bahawa mereka telah menerima jaminan daripada kerajaan China mengenai keselamatan etnik Uyghur yang dihantar pulang.
"Thailand akan terus memantau kesejahteraan kumpulan tersebut," menurut kenyataan itu.
Thailand merupakan sekutu tertua AS di Asia tetapi turut mengekalkan hubungan erat dengan China.
"Thailand sentiasa menghargai dan akan terus menghargai hubungan perjanjian sekutu yang lama dan erat dengan Amerika Syarikat," tambah kenyataan tersebut.
AS menuduh China melakukan genosid terhadap etnik Uyghur menerusi kem tahanan besar-besaran di Xinjiang.
China bagaimanapun menolak tuduhan itu dan mendakwa pihaknya menyediakan pendidikan vokasional bagi meningkatkan masa depan komuniti Uyghur.-AFP