COLOMBO, 20 April - Seorang penunjuk perasaan maut ditembak anggota polis ketika kemarahan rakyat memuncak di Sri Lanka akibat keadaan hidup yang daif di tengah-tengah krisis ekonomi.
Kes itu adalah kematian pertama dilaporkan ketika protes antikerajaan sedang berlangsung.
Mangsa maut ketika polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang menghalang lebuh raya di bandar Rambukkana.
Menurut laporan Sri Lanka Daily Mirror, seorang maut dan 24 orang cedera termasuk lapan anggota polis.
(Protes antikerajaan di Sri Lanka/FOTO REUTERS)
Rakyat Sri Lanka kini berang dengan kenaikan harga barangan keperluan dan bahan api ketika negara itu bergelut untuk menangani kegawatan ekonomi paling serius sejak kemerdekaan pada tahun 1948.
Sri Lanka minggu lalu mengumumkan kemungkinan hutang asingnya mencecah AS$51 bilion.
Presiden Gotabaya Rajapaksa telah menubuhkan kerajaan baharu untuk menenangkan keadaan.
Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa yang juga abang Gotabaya pada Selasa berkata Sri Lanka akan menukar perlembagaan untuk mengurangkan kuasa presiden dan memberi lebih kuasa kepada Parlimen. - REUTERS