fb fb fb fb fb

Trump gantung pembiayaan kepada PBB sehingga pembaharuan dilaksana

AS gantung sementara pembiayaan kepada PBB sehingga pembaharuan dilaksana /REUTERS

WASHINGTON, 4 November- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggantung pembiayaan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sehingga pembaharuan dilaksanakan dalam organisasi itu, kata Duta AS ke PBB, Mike Waltz.

“Presiden telah menggantung pembiayaan Amerika. Kita menahan dana ini sehingga pembaharuan dapat dilaksana,” kata Waltz kepada portal berita Breitbart, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut Waltz, tiada presiden AS lain yang pernah berbuat demikian. Beliau menegaskan bahawa PBB sudah mengurangkan bajetnya sebanyak 15 peratus.

“Kita juga telah memotong 18 peratus daripada jumlah kakitangan mereka serta 25 peratus daripada pasukan pengaman global.

“Setiausaha Agung PBB mengemukakan pelan pembaharuan dinamakan UN80, bersempena ulang tahun ke-80 PBB, bagi menyatukan beberapa agensi yang dianggap tidak terkawal.

“Beliau akan mengurangkan kos pentadbiran yang membazir. Kita memberi PBB pendekatan ‘tough love’ demi menyelamatkan organisasi itu daripada kelemahannya sendiri dan memacu perubahan.

“Presiden tahu bagaimana menggunakan pengaruh itu dan tugas saya ialah memastikan PBB melaksanakannya,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, dalam draf bajet bagi tahun fiskal 2026, Trump mencadangkan supaya pembiayaan untuk operasi pengaman PBB dihentikan, dengan alasan ia tidak berkesan dan membebankan AS.

Beliau turut mencadangkan supaya kebanyakan sumbangan wajib dan semua sumbangan sukarela kepada badan-badan PBB termasuk WHO, UNESCO serta bajet tetap organisasi itu digantung. -BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

SITI NOORAIN ABDULLAH