LIMA, 4 November - Peru memutuskan hubungan diplomatik dengan Mexico, selepas bekas Perdana Menteri Peru berlindung di Kedutaan Mexico untuk memohon suaka politik.
Menteri Luar Peru, Hugo de Zela pada Isnin memberitahu media bahawa pihak berkuasa Peru dimaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri, Betssy Chávez yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Presiden, Pedro Castillo telah melarikan diri ke kedutaan berkenaan.
“Sebagai tindak balas terhadap tindakan tidak bersahabat ini, dan mengambil kira campur tangan berulang kali oleh presiden semasa dan bekas presiden negara itu dalam urusan dalaman Peru, kerajaan Peru telah memutuskan untuk menamatkan hubungan diplomatik dengan Mexico mulai hari ini,” kata de Zela.
Setakat ini, Kementerian Luar Mexico belum memberikan sebarang maklum balas berhubung perkara berkenaan.
Chávez berdepan tuduhan jenayah atas peranannya dalam cubaan Castillo untuk membubarkan Kongres pada akhir 2022, manakala Castillo telah digulingkan dan kini masih ditahan.
Chávez pula dipenjarakan sejak Jun 2023 tetapi dibebaskan oleh mahkamah pada September sementara perbicaraannya masih berjalan.
Peguamnya, Raul Noblecilla, memberitahu stesen radio tempatan RPP bahawa beliau tidak mendengar khabar daripada anak guamnya sejak beberapa hari lalu dan tidak pasti sama ada Chávez telah memohon suaka.
Pemandunya sebelum ini memberi keterangan bahawa Chávez pernah meminta dihantar ke Kedutaan Mexico semasa krisis pembubaran Kongres berlaku, sebelum kembali semula ke pejabatnya.
Chávez menafikan pernah cuba ke kedutaan ketika itu dan turut menafikan mengetahui rancangan Castillo untuk membubarkan badan perundangan.
Pendakwa raya dilaporkan memohon hukuman penjara 25 tahun terhadap Chávez. -REUTERS