fb fb fb fb fb

China gesa AS bersungguh-sungguh laksana konsensus Xi, Trump

Presiden AS Donald Trump (kiri) dan Presiden China Xi Jinping berjabat tangan ketika di Gimhae, Busan, Korea Selatan/ AFP

ISTANBUL, 4 November - Beijing pada Isnin menggesa Washington supaya melaksanakan dengan bersungguh-sungguh konsensus yang dicapai oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping semasa pertemuan mereka minggu lalu di Korea Selatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Hasil rundingan ekonomi dan perdagangan baru-baru ini antara pasukan China dan AS di Kuala Lumpur dengan jelas menunjukkan bahawa dialog dan kerjasama adalah cara yang betul untuk menangani isu, manakala ancaman dan tekanan tidak akan membantu menyelesaikannya,” kata jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning pada sidang akhbar di Beijing.

Beliau menggesa kedua-dua pihak agar “melaksanakan dengan bersungguh-sungguh konsensus penting yang dicapai oleh kedua-dua ketua negara semasa pertemuan di Busan, serta menyuntik kestabilan lebih besar dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan China-AS dan juga ekonomi dunia.”

Kenyataan beliau dibuat susulan kenyataan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent pada Ahad yang mengatakan AS mungkin menaikkan semula tarif terhadap China sekiranya Beijing terus menyekat eksport bahan nadir bumi.

“China menguasai pasaran (nadir bumi) dan malangnya, kadangkala mereka terbukti bukan rakan dagang yang boleh dipercayai,” kata Bessent kepada Fox News Sunday, sambil menyatakan harapannya agar AS “dapat bergantung kepada mereka sebagai rakan dagang yang lebih dipercayai.”

Jika tidak, katanya, “kami boleh mengenakan semula ancaman tarif,” sambil menegaskan bahawa Washington bersedia menggunakan “leveraj maksimum.”

Trump mengadakan pertemuan dengan Xi di bandar pelabuhan Busan, Korea Selatan pada Khamis lalu, yang kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan hubungan perdagangan yang stabil serta menarik balik sebahagian tarif dan kawalan eksport.

Sementara itu, laporan Bloomberg pada Isnin menyatakan bahawa China telah memaklumkan Washington mengenai pembelian gandum AS buat kali pertama dalam tempoh setahun selepas pertemuan antara Trump dan Xi.

Laporan itu menyebut permintaan pembelian daripada China dibuat selepas negara itu menyambung semula import kacang soya AS minggu lalu, memandangkan China tidak membeli gandum AS sejak awal Oktober tahun lepas.

Kenyataan yang dikeluarkan Washington hujung minggu lalu menyebut bahawa Beijing telah bersetuju untuk “membuka pasaran China kepada kacang soya dan eksport pertanian AS yang lain,” serta menangguhkan “semua tarif tindakan balas,” termasuk terhadap gandum AS.

Beijing turut mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah mencapai “konsensus” dengan AS untuk mengembangkan perdagangan pertanian, namun tidak memberikan butiran lanjut.- BERNAMA-ANADOLU

ROSLINA BINTI DIN