fb fb fb fb fb

Sophie ‘ceroboh’ bilik taklimat White House

Sophie, seekor kucing peliharaan, berjalan di kawasan White House selepas berjaya melepasi pagar keselamatan / REUTERS

WASHINGTON, 19 April- Seekor kucing peliharaan mencuri perhatian media selepas dilaporkan tersesat sehingga ke kawasan White House yang menjadi lokasi tumpuan wartawan antarabangsa.

Haiwan berwarna kelabu bermata hijau itu, dikenali sebagai Sophie itu bukan sahaja berjaya memasuki kawasan utaraWhite House, malah sempat 'singgah' ke bilik taklimat media.

Kehadiran kucing tersebut disedari dan dirakam oleh petugas media yang berada di lokasi, sebelum dimuat naik ke media sosial sehingga tular.

Sophie dipercayai memakai kolar dengan peranti penjejak jenis Airtag, memudahkan usaha mengenal pasti pemiliknya.

Menerusi bantuan kakitangan White House, Sophie akhirnya berjaya dipulangkan dalam keadaan selamat.

Insiden lucu itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan wartawan, termasuk seorang daripadanya yang sempat bergurau bahawa kucing tersebut “mungkin membawa peranti pendengaran”.

White House merupakan antara kawasan paling ketat kawalan keselamatannya di dunia, dikawal rapi oleh Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (Secret Service) serta dilengkapi sistem pemantauan berteknologi tinggi.

Namun ini bukan kali pertama kawalan keselamatan diuji, sebelum ini, seorang kanak-kanak dilaporkan merangkak masuk melalui pagar White House sebelum segera diserahkan semula kepada ibu bapanya oleh pihak keselamatan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE