LAGOS, 19 April- Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam serangan dipercayai dilakukan oleh penternak lembu terhadap beberapa komuniti di Negeri Benue, tengah Nigeria pada Khamis, menurut polis tempatan.
Kejadian terbaharu itu berlaku di tengah-tengah peningkatan semula konflik berdarah antara komuniti petani dan penternak, yang telah lama menjadi isu berlarutan di wilayah pertanian utama Nigeria.
Menurut jurucakap polis, Sewuese Anene, lima petani terbunuh di kawasan Gbagir dalam Daerah Ukum apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan sewaktu anggota keselamatan sedang menuju untuk menangani situasi tersebut.
Dalam insiden berasingan, 12 lagi orang dilaporkan terbunuh dalam serangan di kawasan majlis tempatan Logo, terletak kira-kira 70 kilometer dari lokasi pertama.
Serangan terbaharu itu berlaku hanya dua hari selepas 11 orang terbunuh dalam serangan di kawasan Otukpo manakala lebih 50 orang dibunuh dalam kejadian tembakan di negeri jiran, Plateau, minggu lalu.
Menurut firma penyelidikan SBM Intelligence, sejak tahun 2019, konflik antara petani dan penternak telah meragut lebih 500 nyawa dan menyebabkan 2.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal di rantau itu.
Pertikaian antara kedua-dua komuniti biasanya tercetus akibat persaingan merebut kawasan pertanian dan padang ragut, yang menjadi semakin kritikal berikutan tekanan pertumbuhan penduduk dan perubahan iklim.- REUTERS