JAKARTA, 14 April – Pihak berkuasa Indonesia menahan tiga orang hakim yang sebelum ini membebaskan tiga syarikat kelapa sawit daripada tuduhan rasuah berkaitan perolehan permit eksport.
Penahanan tersebut dibuat susulan penahanan Ketua Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan atas dakwaan menerima rasuah dalam kes yang sama.
Ketiga-tiga syarikat terbabit Wilmar Group, Musim Mas Group, dan Permata Hijau Group yang berpangkalan di Sumatera Utara, sebelum ini dibebaskan oleh mahkamah daripada tuduhan salah laku dalam mendapatkan permit eksport pada tahun 2022.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara, Harli Siregar, memaklumkan ketiga-tiga hakim yang mengeluarkan keputusan tersebut telah ditahan pada malam Ahad.
Sebelum itu, pada hari Sabtu, pendakwa raya menahan Muhammad Arif Nuryanta, Ketua Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan.
Beliau didakwa menerima bayaran sebanyak 60 bilion rupiah (kira-kira AS$3.57 juta) untuk mengatur keputusan mahkamah yang memihak kepada dua orang peguam yang mewakili syarikat-syarikat terbabit.
Menurut Siregar, sebanyak AS$1.07 juta turut didakwa dibayar kepada tiga orang hakim yang membuat keputusan pembebasan. Katanya, “Rasuah tersebut diberikan supaya para hakim memutuskan bahawa ia bukan satu kesalahan.”
Seorang kerani mahkamah dan dua orang peguam turut ditahan dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Pejabat Peguam Negara Indonesia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang dibuat pada bulan Mac lalu.
Setakat ini, ketiga-tiga syarikat tersebut masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen, dan Reuters juga tidak berjaya menghubungi para hakim atau peguam mereka.
Difahamkan, Nuryanta merupakan timbalan ketua mahkamah ketika keputusan tersebut diumumkan, namun beliau tidak terlibat secara langsung dalam mendengar kes berkenaan.
Indonesia, sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia dengan sumbangan hampir 60 peratus daripada bekalan global, telah melaksanakan langkah-langkah sekatan eksport yang ketat pada tahun 2022 termasuk larangan eksport selama tiga minggu bagi mengawal kenaikan harga minyak masak tempatan.
Pada awal perbicaraan, pihak pendakwa raya menuntut denda dan bayaran terhadap syarikat-syarikat berkenaan sehingga mencecah 11 trilion rupiah.-REUTERS