fb fb fb fb fb

Lambakan taman solar ancam warisan pokok zaitun berabad di Sepanyol

Foto AFP

LOPERA, 14 April – Petani-petani di wilayah Andalusia membantah keras pembinaan lapan taman solar yang dirancang berhampiran bandar Lopera, yang berpotensi menjejaskan sehingga 1,000 hektar tanah pertanian dan menyebabkan penebangan ribuan pokok zaitun yang berusia berabad-abad.

Francisco Campos, 64, salah seorang petani terjejas menyifatkan tindakan menebang pokok zaitun demi pemasangan panel solar sebagai satu jenayah. “Cara hidup kami akan dimusnahkan,” katanya.

Sepanyol, pengeluar minyak zaitun terbesar dunia, kini berdepan tekanan daripada ledakan industri tenaga boleh baharu.

Syarikat seperti Greenalia dan FRV Arroyadas telah memperoleh kebenaran untuk membina ladang solar, dan kerajaan wilayah Andalusia telah meluluskan tindakan rampasan tanah atas alasan “kepentingan awam”.

Namun, ratusan pemilik tanah kecil membantah tindakan itu. Protes besar-besaran oleh petani tempatan telah diadakan, termasuk dengan membawa traktor dan sepanduk yang menolak pembinaan ladang solar.

Maria Josefa Palomo, 67, dalam satu protes berkata, “Tanah ini adalah warisan daripada nenek moyang kami. Apa yang boleh saya tinggalkan kepada anak-anak saya?”

Koperasi minyak zaitun tempatan, La Loperana, menganggarkan kehilangan 500 hektar kebun boleh mengakibatkan kerugian tahunan lebih dua juta euro.

Sejumlah 5,000 pokok zaitun telah pun dicabut hasil perjanjian antara petani dan syarikat solar, dan lebih banyak dijangka menyusul.

Kerajaan wilayah mempertahankan projek itu, dengan menyatakan hanya kurang 1 peratus tanah dirampas secara paksa, manakala Persatuan Industri Solar Sepanyol (UNEF) menegaskan projek tersebut menjana cukai yang tinggi dan boleh menambah baik perkhidmatan awam di kawasan luar bandar.

Namun, penduduk Lopera berikrar meneruskan perjuangan. “Hingga ke akhir. Tiada siapa yang akan mengambil hak milik kami,” tegas Juan Cantera, 28, seorang petani muda.

Sepanyol kini menjana lebih 56 peratus tenaga elektriknya melalui sumber boleh baharu dan menyasarkan 81 peratus menjelang 2030. Namun, peralihan itu mencetuskan dilema antara kemajuan teknologi dan pemeliharaan warisan pertanian negara.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN